Kenapa tadbir urus korporat sangat penting kepada sebuah syarikat amanah? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 3 January 2024

KENAPA TADBIR URUS KORPORAT SANGAT PENTING KEPADA SEBUAH SYARIKAT AMANAH?

 

 

 

Saya rasa ramai yang bosan bila saya bercakap tentang tadbir urus korporat.

 

Memang topik ini di Malaysia tidak diminati ramai mungkin kerana budaya kita yang tidak mementingkan hal ini tidak seperti di Jepun yang mana tadbir urus korporat dan integriti menjadi teras kepada nilai masyarakat seperti yang saya huraikan dalam penulisan sebelum ini.

 

Walaupun tidak popular, saya tetap akan mengulas topik kepentingan tadbir urus korporat kepada syarikat Amanah kerana ia mempunyai kaitan yang sangat relevan kepada masyarakat.

 

Ini terutamanya jika mereka ingin memilih sesebuah syarikat Amanah itu sebagai wasi (executor), pentadbir (administrator), pemegang Amanah atau melantik syarikat Amanah bagi menjalankan apa-apa bidang kuasa seperti yang termaktub di dalam Akta Syarikat Amanah 1949 (Akta 100).

 

Masyarakat perlu faham bahawa jika syarikat Amanah yang mereka pilih itu:

  • tidak mempunyai standard tadbir urus korporat yang baik dan tidak telus,
     
  • lembaga pengarah yang kurang berpengalaman di dalam bidang yang berkaitan dengan industri pengamanahan,
     
  • tiada Panel Syariah yang berkelayakan dan berpengalaman,
     
  • dianggotai oleh pasukan pengurusan yang kurang berpengalaman atau mempunyai rekod prestasi yang buruk,

...maka operasi syarikat amanah ini berpotensi untuk dikuasai dan dimanipulasi oleh mana-mana individu.

 

Kepada sebuah syarikat Amanah yang tanggungjawab utamanya seperti yang digariskan di dalam Seksyen 8 Akta Syarikat Amanah ialah untuk memegang secara Amanah dan menguruskan harta pelanggannya seperti yang ditetapkan undang-undang, sebarang kelemahan yang membawa kepada kebarangkalian operasi syarikat Amanah ini dikuasai atau dimanipulasi oleh mana-mana individu, adalah satu prospek yang sangat menakutkan.

 

Harta atau urusan yang diamanahkan oleh masyarakat kepada sesuatu syarikat Amanah itu berisiko untuk tidak terlaksana atau dimanipulasi jika keadaan di atas berlaku.

 

Ketika itu pelanggan sudah pun mati dan tidak mungkin boleh bangkit dari kubur untuk ‘undo’ apa yang tersilap.

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Kerana itu saya sangat konsisten di dalam menasihatkan masyarakat supaya memastikan mereka melakukan pemeriksaan latar belakang (background check) apabila memilih untuk merancang harta mereka menggunakan perkhidmatan sesuatu syarikat Amanah.

 

Contohnya, jika sesuatu syarikat Amanah itu mengatakan mereka patuh Syariah, periksalah siapa Panel Syariah mereka. Adakah penasihat Syariah itu memang benar-benar berkelayakan dan berpengalaman di dalam bidang fiqh mawarith?

 

Periksa latar belakang akademik dan pengalaman mereka. Kebiasaannya Panel Syariah bagi sebuah syarikat Amanah yang berurusan di dalam bidang perancangan harta, Panel Syariahnya mestilah mereka yang mempunyai kelayakan PhD di dalam bidang Fiqh Mawarith (Feqah pewarisan).

 

Semak juga adakah Panel Syariah mereka itu benar-benar mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berkaitan Syariah atau mereka itu hanyalah ‘aksesori’ sebagai penyeri profil syarikat sahaja dan tidak mempunyai sebarang kuasa khusus.

 

Bagaimana masyarakat boleh memastikan aspek ini?

Semaklah laman web syarikat berkenaan dan carilah maklumat berkaitan had kuasa (limit of authority) Panel Syariah. Jika maklumat ini tidak boleh diakses oleh orang awam, maka kita perlu tertanya-tanya sejauh mana Panel Syariah ini benar-benar berfungsi untuk memastikan aspek kepatuhan Syariah syarikat.

 

Di laman web Wasiyyah Shoppe Berhad, semua maklumat ini boleh diakses mudah oleh orang awam. Panel Syariah kami memang mempunyai kuasa penuh untuk membuat sebarang keputusan berkaitan Syariah.

 

Ia adalah satu had kuasa (limit of authority) yang telah dilulus oleh Lembaga Pengarah dan diterima pakai sejak 2019 lagi. Kepatuhan Syariah operasi Wasiyyah Shoppe Berhad memang tidak perlu diragui.      

 

Masyarakat juga perlu menyemak maklumat syarikat Amanah ini melalui semakan dalam talian di MyData SSM.

 

Kita boleh mengetahui secara tepat siapakah pemegang saham, Lembaga pengarah dan prestasi kewangan syarikat Amanah ini.

 

Pastikan syarikat Amanah ini mempunyai prestasi kewangan yang baik kerana ia perlu bertahan lama bagi memastikan ia mampu memberi perkhidmatan kepada waris-waris kita 5, 10, 20 atau 50 tahun akan datang.

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Sekiranya prestasi kewangannya tidak mantap, bagaimana ia boleh menjamin kelangsungan operasinya ?

Selain daripada dua aspek di atas, dengan bantuan 8 orang ahli Lembaga pengarah yang berpengalaman luas di dalam sektor korporat dan undang-undang, kami juga telah membangunkan dan menerima pakai standard tadbir urus korporat amalan terbaik (best practice) seperti yang diamalkan oleh syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia.

 

Walaupun tiada keperluan undang-undang, di laman web Wasiyyah Shoppe Berhad, prestasi kewangan semasa kami juga boleh diakses oleh orang awam melalui Laporan Korporat Tahunan.

 

Semua maklumat kewangan yang telah diaudit didedahkan secara telus bagi memastikan masyarakat tahu kedudukan kewangan kami.

 

Selain syarikat Amanah milik bank yang prestasi kewangannya telah dikonsolidasikan di dalam laporan tahunan bank, Wasiyyah Shoppe Berhad ialah satu-satunya syarikat Amanah milik persendirian yang mempunyai standard pendedahan (disclosure) seperti syarikat senaraian awam.

 

 

wasiyyahshoppe

 

 

Kenapa pula kami bersusah-payah sehingga ke tahap ini? Kerana kami mahu masyarakat yakin bahawa operasi kami telus dan profesional dan masyarakat boleh menaruh keyakinan kepada kami. 

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sentiasa memastikan bahawa tiada mana-mana individu pun di dalam syarikat yang mempunyai kuasa mutlak untuk memberi arahan sesuka hati tanpa merujuk kepada had kuasa (limit of authority) yang telah dilulus dan diterima pakai oleh Lembaga Pengarah.

 

Pelanggaran had kuasa ini adalah satu kesalahan besar yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang yang tegas.

 

Apabila wujud unsur semak imbang yang baik seperti yang diamalkan melalui standard tadbir urus korporat Wasiyyah Shoppe Berhad ini, masyarakat boleh yakin bahawa urusan perancangan harta mereka akan dilaksanakan secara profesional, telus dan tepat walaupun mungkin ia berlaku 100 tahun akan datang.

 

 

ariffin sabirin
ARIFFIN SABIRIN adalah Pengasas dan CEO Kumpulan Wasiyyah Shoppe Bhd

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

dagangnews

 

 

Portfolio Tags