Jika anda tiada disiplin bangun awal pagi, lupakan sahaja semua cita-cita dalam kehidupan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 29 November 2023

JIKA ANDA TIADA DISIPLIN BANGUN AWAL PAGI, LUPAKAN SAHAJA SEMUA CITA-CITA DALAM KEHIDUPAN

 

 

 

SAYA bukan sifu atau pakar di dalam apa-apa bidang. Saya juga bukan penceramah motivasi yang mempunyai deretan akreditasi atau sijil.

 

Saya hanya seorang hamba Allah yang diberikan rezeki untuk melalui pelbagai pengalaman pahit manis kehidupan yang memberikan pengajaran kepada saya. Pengalaman inilah yang ingin saya kongsikan sekiranya ia mampu memberi manfaat kepada pembaca.

 

Saya percaya para pembaca juga mungkin melalui pengalaman yang sama. Perbezaannya ialah bagaimana kita menganalisis pengalaman-pengalaman itu dan menjadikannya sebagai panduan untuk diri sendiri dan orang di sekeliling kita. Penulisan saya kali ini akan menyentuh tentang analisis peribadi saya tentang pengalaman ini.   

 

Selain daripada isu harta pusaka, saya akan mula selang-selikan penulisan saya dengan  perkara yang lebih besar iaitu falsafah kehidupan yang saya rasa boleh dijadikan panduan oleh pembaca kolum Anekdot Mawarith DagangNews.com ini.

 

Bukankah orang bijak pandai telah mengatakan bahawa orang yang paling bijaksana itu ialah orang yang belajar daripada pengalaman orang lain supaya dia tidak perlu melalui sendiri kesakitan melalui pengalaman itu?


 

parafrasa

 


Kunci Utama Hidup

Untuk penulisan tentang falsafah kehidupan kali ini saya akan berkongsi tentang DISIPLIN. Kunci utama kepada semua pencapaian di dalam kehidupan ialah disiplin.

 

Jika kita membaca biografi orang-orang yang berjaya, kita akan mendapati bahawa mereka secara langsung atau tidak langsung akan menyentuh tentang bagaimana disiplin kehidupan membawa mereka ke tahap kejayaan  yang tinggi.

 

Disiplin yang saya ingin sentuh kali ini ialah disiplin bangun awal pagi. Tidak ada orang berjaya bangun pukul 11 pagi atau 12 tengahari.

 

Mereka sentiasa bangun awal pagi sebelum terbit fajar. Sama ada mereka bangun untuk beribadat, membaca buku, menyemak emel, menyusun keutamaan jadual hari itu, bersenam atau melakukan apa sahaja aktiviti. Pokoknya, mereka akan bangun awal pagi.

 

Disiplin ini telah disemai di dalam diri mereka semenjak kecil sehinggalah mereka dewasa. Orang berjaya akan bangun pagi dengan semangat membara, tenaga yang membuak-buak dan fokus yang jelas apa yang perlu dilakukan hari itu.

 

Mereka tahu secara objektif apa yang ingin mereka capai hari itu dan mereka akan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya.


 

parafrasa

 


Kepada orang berjaya, setiap hari menawarkan peluang untuk ‘fighting battles’ atau pertempuran baru yang mesti dimenangi olehnya.

 

Pertempuran ini bukan sahaja dari segi perniagaan atau persaingan luaran (external competition), malah orang berjaya lebih banyak menumpukan kepada pertempuran untuk menjadikan diri sendiri lebih baik hari ini berbanding semalam. Mereka sentiasa bersedia untuk menjadi versi diri sendiri yang lebih baik hari ini.    

 

Apabila saya membaca biografi orang berjaya dan ada masanya berkesempatan berbual  sendiri dengan mereka, saya dapati ini ialah salah satu disiplin yang mana semua orang berjaya mempunyai persamaan baik orang Islam mahupun bukan Islam. Semuanya bangun awal pagi memulakan kehidupan.

 

Bangun tidur

Anda ada disiplin bangun awal pagi ini? Jika anda ada disiplin ini, anda telah memenangi sebahagian pertempuran untuk menjadi orang yang berjaya. Jika anda tiada disiplin ini, cita-cita anda untuk berjaya dalam kehidupan hanyalah satu angan-angan sahaja.

 

Namun saya ingin mengindemniti bahawa disiplin bangun awal pagi hanyalah sebahagian sahaja daripada intipati kejayaan kehidupan. Ada banyak lagi faktor penyumbang yang lain.

 

Saya akan cerita dalam artikel yang lain insya-Allah. Kali ini saya hanya mahu bercerita tentang disiplin bangun awal pagi sahaja.

 


 

parafrasa

 



Apa disiplin bangun pagi yang saya pegang pula? Saya bangun pagi 4.30 pagi setiap hari. Sebaik saya bangun, saya akan lalui rutin awal pagi seperti kebanyakan orang.

 

Saya tahu untuk bangun awal pagi dan bertenaga, saya perlukan tidur yang berkualiti. Oleh itu saya akan pastikan menjelang 10.30 malam, saya akan tutup lampu untuk tidur. Ini rutin harian saya.

 

Saya sangat jarang keluar pada waktu malam kerana pada saya itu adalah waktu rehat saya. Seboleh-bolehnya saya akan mengelak dari keluar berjumpa kawan-kawan atau menghadiri apa-apa acara kecuali acara yang memang saya terpaksa hadir.

 

Saya tahu saya akan memerlukan fokus dan tenaga yang sangat banyak pada waktu siang jadi saya akan pastikan saya dapat tidur yang mencukupi. Tidur yang mencukupi di sini bermaksud tidur yang sangat dalam (deep) dan tidak terganggu. Ini sebenarnya ialah kunci utama kepada keupayaan bangun awal pagi.  

 

Semenjak saya melalui perjalanan pengurusan kesihatan diri 14 bulan yang lepas, tidur saya semakin nyenyak. Saya tidak lagi terganggu dengan bangkit malam untuk ke bilik air atau diganggu perkara lain.

 

Bagi diri saya, tidur selama 6-7 jam sudah mencukupi. Bagi setiap orang jumlah jam tidur ini mungkin berbeza-beza.

 

Kurang produktiviti

Ketika saya berada di dalam keadaan fizikal kurang sihat setahun yang lepas, saya kerap terjaga malam untuk ke bilik air. Kita tahulah ini simptom penyakit apa itu betul tak?

 

Walaupun saya boleh bangun awal pagi kerana memang itu disiplin diri saya semenjak remaja, namun saya rasa letih, kurang fokus dan lemah sepanjang hari.

 

Keadaan ini menyebabkan produktiviti saya rendah.  Alhamdulillah, semua cabaran itu sudah berjaya saya atasi. Hari ini produktiviti saya mungkin 3 kali ganda lebih baik dari sebelumnya.


 

parafrasa

 


Kerana tidur yang cukup itu saya akan  bangun awal pagi dengan tenaga yang membuak-buak, sebaik selesai semua rutin awal pagi sebagai hambaNya, saya akan bergerak ke taman untuk berlari atau ‘brisk walking’.

 

Saya akan menghabiskan masa minimum 90 minit dan membakar minimum 600 kalori setiap kali melakukan aktiviti ini.  

 

Balik dari bersenam, saya akan bersiap untuk ke pejabat dan mesyuarat sama ada secara fizikal atau atas talian. Hari saya kebiasaannya penuh dengan 3 atau 4 agenda sehingga lewat petang. Sebelum maghrib saya pastikan saya sudah sampai semula ke rumah. Saya akan makan malam sebelum pukul 7 malam.

 

Pada waktu malam pula saya tidak suka keluar lepak mamak atau makan lewat malam (supper) kecuali ada acara tertentu. Keluarga saya cukup faham disiplin diri saya dan sudah terbiasa dengannya. Namun ada masa-masa tertentu saya akan langgar disiplin ini bagi meraikan keluarga.

 

Boring?

Boringnya hidup!” kata sesetengah kawan. Ya kalau kita tidak biasa hidup berdisiplin, memang rutin hidup saya membosankan dan ‘beku’. Namun saya gembira dengannya.

 

Kenapa? Kerana dengan disiplin bangun awal pagi ini, kehidupan saya lebih tersusun dan produktif. Saya dapat menyumbang secara optimum kepada keluarga dan masyarakat.


 

parafrasa

 


Saya lebih fokus dan bertenaga. Paling penting wahai para pembaca, apabila kita ada disiplin bangun pagi ini, hidup kita akan lebih tenang.

 

Bukankah ketenangan hati dan perasaan ialah rezeki paling berharga yang Allah kurniakan kepada kita?

 

Anda ingin berjaya dalam hidup? Semailah disiplin bangun awal pagi.   

 

 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Wasiyyah Shoppe Bhd

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

 

dagangnews

 

  

 

Portfolio Tags