Adakah penggubalan undang-undang merupakan penyelesaian isu harta pusaka di Malaysia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 8 November 2023
ariffinsabirin

ADAKAH PENGGUBALAN UNDANG-UNDANG MERUPAKAN PENYELESAIAN ISU HARTA PUSAKA DI MALAYSIA?

 

 

 

MINGGU ini kita bercerita isu yang berat sedikit berbanding penceritaan minggu-minggu yang lepas. Persoalan ini memang kerap ditanya kepada saya oleh masyarakat. 

 

Sebagai orang yang telah terlibat secara aktif di dalam industri perancangan harta dan pengurusan pusaka semenjak 1998, jujur saya  katakan bahawa saya tiada jawapan tuntas untuk soalan itu. Susah nak dituntaskan kerana memang terlalu banyak faktor yang mempengaruhi isu harta pusaka dan bukan persoalan undang-undang sahaja.  

 

Memang ramai yang memberi pandangan bahawa Kerajaan patut berbuat sesuatu dari sudut penggubalan undang-undang seperti melonggarkan sesuatu undang-undang atau mewujudkan sesuatu undang-undang harta pusaka khusus supaya ia lebih memudahkan waris.

 

Tidak perlu terlalu banyak akta yang banyak dan berbelit. Tidak perlu merumitkan proses dengan melibatkan kedua-dua mahkamah syariah dan undang-undang sivil. Masyarakat telah, masih dan akan terus keliru kerana terlalu banyak sangat bidang kuasa.

 

Pada pandangan masyarakat awam memang ini antara tindakan logik yang boleh diambil. Namun ia tidak semudah yang disangkakan walaupun saya sendiri berharap penyelesaiannya semudah itu. Saya bagi contoh cadangan penggubalan Akta Harta Pusaka yang sudah pun dicadangkan oleh Allahyarham Tan Sri Ahmed Ibrahim semenjak tahun 1990-an lagi.

 

Idea utama penggubalan undang-undang ini ialah untuk memusatkan semua proses pentadbiran harta pusaka kepada satu bidang kuasa mahkamah sahaja. Ini bermakna tidak perlulah masyarakat pening kepala untuk melalui pelbagai proses di pelbagai mahkamah. Namun ia lebih mudah disebut daripada dibuat.

 

 

parafrasa

 

 

Apabila sesi sumbang saran dijalankan oleh penggiat industri termasuk saya sendiri, kami mendapati bahawa ia bukan sahaja melibatkan penggubalan akta (peringkat Parlimen) baharu sahaja malah lebih rumit ia melibatkan penggubalan akta dan enakmen (Peringkat Negeri) untuk pelarasan, malah ia turut menyentuh juga penggubalan Perlembagaan Malaysia. Dalam keadaan politik Malaysia seperti hari ini, menggubal Perlembagaan akan menjadi isu yang sangat besar dan kontroversi walaupun mungkin Kerajaan hari ini memiliki majoriti 2/3.

 

Untuk menyentuh bidang kuasa negeri-negeri (enakmen) pula, pastinya restu daripada Sultan dan Raja diperlukan. Dalam pengalaman saya yang sedikit ini (lebih ramai rakan yang berpengalaman isu perlembagaan) , tidak mudah untuk kita ‘menjual’ idea sebegini kepada negeri-negeri. Kesemua pemerintah mempunyai prioriti dan perspektif masing-masing.   

 

Apa yang berlaku, di dalam sumbang saran yang dijalankan, lebih banyak isu-isu semasa dibincangkan berbanding strategi bagaimana untuk bergerak ke hadapan bagi memudahkan proses pengurusan pusaka masyarakat.  

 

Isu yang dibangkitkan ialah seperti proses pengesahan wasiat, hibah, harta sepencarian dan penjagaan harta yang lambat di Mahkamah Syariah. Isu proses rumit mendapatkan sijil faraid juga dibangkitkan selain isu proses pengesahan nilai hartanah yang lambat oleh Jabatan Penilaian Harta dan pelbagai isu lain turut dibangkitkan.  

 

Saya menunggu-nunggu bila isu tentang Akta Harta Pusaka yang bakal digubal ini mahu dibincangkan. Kelihatannya kita masih terbelenggu dengan isu-isu semasa yang sangat banyak. Akhirnya apa yang berlaku ialah hasil sesi sumbang saran itu, setiap pihak yang terlibat mula mengemaskini undang-undang sedia ada yang melibatkan mereka secara langsung.

 

Ini bermakna semua undang-undang berkaitan harta pusaka di Malaysia semakin diperketatkan. Dari satu sudut ia bagus kerana sesi ini memberikan idea penambahbaikan untuk undang-undang sedia ada. Dari sudut yang lain, ia kurang membantu untuk kita bergerak ke hadapan dalam penyatuan dan rekonsiliasi undang-undang sedia ada bagi menyokong idea penggubalan undang-undang baru seperti Akta Harta Pusaka.   

 

 

irsyad

 

 

33 tahun sudah berlalu semenjak idea Akta Harta Pusaka ini dikemukakan oleh Allahyarham. Walaupun sekali-sekala idea ini dibangkitkan, jujurnya saya tidak nampak ia akan menemui jalan penyelesaian di dalam jangka masa terdekat.

 

Terdapat terlalu banyak pertembungan kepentingan terutamanya di antara peruntukkan undang-undang sivil dan syariah. Semua pihak menegaskan betapa bidang kuasa mereka tidak wajar diusik atau dikurangkan. Jadi dengan perdebatan yang  tidak pernah surut ini, saya rasa para pembaca boleh menjawab sendiri persoalan tajuk perbincangan kita minggu ini.

 

Saya seorang realis. Saya selalu berfikiran bahawa kita tidak perlu menghabiskan masa dan tenaga kita untuk memberitahu orang lain apa yang dia sepatutnya buat tapi dia belum atau tidak buat. Kita juga tidak perlu membuang masa terlalu banyak untuk mendesak pihak-pihak ini untuk berbuat sesuatu kerana kita juga faham apa kekangan yang mereka hadapi. Tidak mudah untuk bertindak menongkah arus. Saya tahu kerana saya telah melalui pengalaman itu.

 

 

irsyad

 

 

Jadi apakah pilihan yang ada di dalam tangan masyarakat hari ini ? Kita tahu dari sudut perundangan, proses penggubalan undang-undang untuk memudahkan urusan harta pusaka ini memang panjang dan berlaku.

 

Apa yang masyarakat perlu buat ialah rancanglah harta dengan baik ketika masih hidup supaya apabila kita mati kelak harta pusaka kita dapat diurus dengan sempurna dan cepat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Jangan tunggu undang-undang digubal atau diwujudkan undang-undang baru.  

 

Wasiyyah Shoppe Berhad sudah 20 tahun merintis usaha ini. Di dalam pembangunan perkhidmatan kami seperti hibah, kami akan pastikan ia boleh dikuatkuasakan mengikut undang-undang semasa. Sekiranya terdapat perubahan undang-undang pula seperti pengenalan Enakmen Hibah Kelantan 2022, kami akan segera menyemak peruntukan enakmen itu untuk memastikan tiada apa yang kami lakukan bercanggah dengan enakmen tersebut.

 

Sekiranya terdapat percanggahan di antara apa yang kami buat dan enakmen berkenaan, kami akan cepat bertindak menghubungi pelanggan untuk membuat perubahan yang perlu. Pendekatan ini lebih praktikal.

 

Kita kena sentiasa bersedia untuk berdepan dengan peruntukan undang-undang semasa berbanding dengan ‘menyalak’ mengenai undang-undang yang secara realistiknya memang kita tahu agak sukar digubal.

 

Jika kita mahu menunggu suasana undang-undang kondusif wujud baru kita mahu merancang harta, saya sangat yakin dan pasti kita sudah pun berada 6 kaki di bawah tanah. Oleh itu bertindaklah merancang harta anda melalui Wasiyyah Shoppe Berhad. Kami akan pastikan dokumen perancangan harta anda sentiasa relevan dan berkuatkuasa mengikut undang-undang semasa.      


 

ariffinsabirin
Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas & CEO Kumpulan Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL ANEKDOT MAWARITH

 

dagangnews

 

Portfolio Tags