Anda hilang kerja? Ini anda harus tahu | DagangNews Skip to main content

Anda hilang kerja? Ini anda harus tahu

Hilang pekerjaan

PUTRAJAYA 30 Jun - Kementerian Sumber Manusia komited untuk membantu penempatan semula pekerjaan bagi mereka yang diberhentikan kerja susulan daripada impak wabak COVID-19.

Selaras dengan itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, kementerian akan melaksanakan beberapa inisiatif bagi membantu kelangsungan ekonomi dan sara hidup pekerja seperti berikut:

(i) memberikan keutamaan dari segi pekerjaan kepada pencari kerja tempatan. Semua kekosongan jawatan bagi pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang mestilah diiklankan di Portal JobsMalaysia untuk tempoh tidak kurang dari 30 hari di portal JobsMalaysia.  

Sekiranya tiada pengisian dari kalangan pencari kerja tempatan dalam tempoh tersebut, barulah majikan dibenarkan untuk membuat permohonan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang;

(ii) pendaftaran dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di bawah Skim Bencana Kerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 [Akta 4] dijadikan sebagai syarat wajib dalam pengeluaran dan pembaharuan Pas Penggajian pegawai dagang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerja asing; Pejabat Menteri Sumber Manusia, Kementerian Sumber Manusia, Aras 9, Blok D3, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62530, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Malaysia Telefon: 03-8886 5002/5003, Faks: 03-8889 2390, E-Mel Kementerian : www.mohr.gov.my 

(iii) mewajibkan majikan mematuhi elemen Foreign Workers First Out (FWFO) selaras dengan peruntukan Seksyen 60N Akta Kerja 1955 dan Code of Conduct for Industrial Harmony. Ini bagi memastikan aspek berkaitan pemberhentian, perkhidmatan pekerja asing mestilah ditamatkan terlebih dahulu bagi menjamin kelangsungan pekerjaan pekerja tempatan;

(iv) setiap majikan perlu melaporkan tindakan pemberhentian pekerja kepada Pejabat Tenaga Kerja menerusi Borang PK dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 hari sebelum pemberhentian kerja, pemberhentian sementara, pemberhentian sukarela dan pengurangan gaji dilaksanakan selaras dengan Seksyen 63 Akta Kerja 1955. 

Pelaporan ini penting untuk membantu Kementerian ini memantau tindakan pemberhentian oleh majikan serta membantu penempatan semula pekerjaan kepada mereka yang terlibat. Majikan adalah disarankan untuk merujuk kepada Garis Panduan Pengurusan Pemberhentian Pekerja bagi memastikan prosedur pemberhentian dilaksanakan berdasarkan ketetapan yang digariskan oleh Kerajaan; dan

(v) memberi kelonggaran kepada majikan-majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan untuk meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja.

Namun demikian, ini hanya dibenarkan berlaku dalam sektor pekerjaan yang sama. Permohonan Pertukaran Majikan boleh dikemukakan ke Ibu Pejabat Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bermula 10 Jun 2020. Maklumat lanjut dan dokumen-dokumen berkaitan boleh diperoleh di laman web jtksm.mohr.gov.my.

Kementerian juga ingin menegaskan bahawa pengagihan semula pekerja sedia ada (tempatan dan asing) adalah merentasi semua sektor. Ini bagi memastikan lebihan pekerja dalam sesuatu sektor akan dimanfaatkan oleh sektor berkeperluan yang mengalami kekurangan pekerja.

Dalam memastikan keberkesanan strategi penempatan semula pekerjaan ini, Kementerian Sumber Manusia dan JTKSM memohon sokongan, kerjasama serta penyaluran maklumat daripada semua pemain dalam pelbagai industri.

Maklumat lanjut berhubung inisiatif-inisiatif ini boleh diperolehi dengan menghubungi Bilik Gerakan Kementerian Sumber Manusia di talian 03-8886 5192/2409