AME optimis capai sasaran jualan RM250 juta bagi FY23 | DagangNews Skip to main content

AME optimis capai sasaran jualan RM250 juta bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Sept - AME Elite Consortium Bhd. optimis dapat mencapai sasaran jualan hartanah perindustrian sebanyak RM250 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23). 

 

Sasaran itu lebih tinggi berbanding RM168.4 juta bagi FY22 dipacu pelaburan langsung asing dan domestik dalam pasaran taman perindustrian.

 

Pengarah Urusan Kumpulan AME, Kelvin Lee berkata, pembukaan semula sempadan antarabangsa sejak April 2022 menyaksikan aliran yang meningkat dalam pelaburan dari Malaysia dan seluruh Asia termasuk China dan Singapura.

 

Katanya, faktor itu memberi keyakinan kepada kumpulan untuk menambahbaik prospek bagi FY23.

 

"AME telah berkembang apabila kami mendapat reputasi antarabangsa untuk taman industri yang memenangi anugerah dan mampan, yang semakin dicari oleh organisasi terkemuka yang mencari tempat operasi yang boleh dipercayai dan sedia berkembang di Asia Tenggara.

 

"Kami juga merekodkan pencapaian jualan yang lebih baik pada FY22 meskipun di tengah-tengah penutupan sempadan antarabangsa, menggambarkan banyaknya permintaan yang besar untuk taman industri bersepadu yang diurus dengan baik," katanya dalam kenyataan sempena mesyuarat agung tahunan hari ini.

 

Pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, AME memperoleh RM64.8 juta jualan baharu dan RM124.6 juta bagi tempahan untuk hartanah taman perindustrian.

 

Jumlah terkumpul sebanyak RM189.4 juta, jika ditukar sepenuhnya, membentuk bahagian yang sihat daripada sasaran jualan FY23.

 

AME mengisytiharkan dividen satu peringkat khas sebanyak satu sen sesaham bagi FY23 untuk memberi ganjaran kepada pemegang sahamnya pada 27 September 2022. - DagangNews.com