Ambil peduli mengenai bayaran zakat KWSP, jangan abaikan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 6 September 2022

AMBIL PEDULI MENGENAI BAYARAN ZAKAT KWSP, JANGAN ABAIKAN

 

 

MINGGU lalu, penulis berbincang dengan isteri yang merupakan profesional dalam bidang percukaian di sebuah syarikat besar dalam industri. 

 

Beliau ada bertanyakan tentang zakat termasuklah zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang perlu dibayar oleh individu berumur 50 tahun ke atas. 

 

Selain itu, penulis juga ada menerima beberapa persoalan berkaitan zakat KWSP daripada pesara yang mahu memastikan mereka tidak berhutang dengan Allah kelak.

 

 

KWSP

 

 

Penulis membuat sedikit pencarian dan mohon untuk menghuraikan sedikit maklumat berkaitan perkara ini yang dipetik daripada laman sesawang Pusat Zakat Wilayah : https://www.zakat.com.my/info-zakat/jenis-jenis-zakat/zakat-kwsp/

 

Hasil pencarian, penulis mendapati Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019 telah membincangkan dan membuat keputusan-keputusan berikut:

 

“Bagi skim pengeluaran yang memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah dan tiada had pengeluaran seperti pengeluaran simpanan melebihi RM1 juta, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun, pengeluaran meninggalkan negara, pengeluaran pekerja berpencen dan pesara pilihan, maka ZAKAT DIWAJIBKAN ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul.

 

"Baki simpanan KWSP dalam kategori ini yang tidak dikeluarkan selepas setahun (haul), adalah tertakluk kepada  hukum zakat simpanan berdasarkan baki wang simpanan yang telah genap setahun (haul) sekiranya mencapai nisab.”

 

Ini bermaksud, individu yang boleh mengeluarkan simpanan KWSP pada umur 50, 55 atau 60, mereka perlu membayar zakat kepada mana-mana jumlah pengeluaran yang mereka buat tanpa menunggu haul jika cukup nisab.

 

Jika baki simpanan masih ada dan ia melebihi nisab, maka, mereka wajib membayar zakat ke atas jumlah tersebut apabila cukup haul, iaitu, setahun dari tarikh mereka boleh mengeluarkan simpanan tersebut.

 

 

gambar hiasan

 

 

“Bagi pengeluaran sebahagian di dalam akaun 2 apabila mencapai umur 50 tahun, ZAKAT DIKENAKAN ke atas amaun yang dikeluarkan sahaja pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul.”

 

Individu yang mencapai umur 50 tahun, zakat adalah wajib ke atas jumlah akaun 2 dalam simpanan KWSP, jika jumlah tersebut dikeluarkan, tanpa menunggu cukup haul. Bagaimana pun, jika jumlah yang dikeluarkan tidak cukup nisab, maka beliau tidak perlu membayar zakat.

 

“Bagi ahli yang tidak membuat pengeluaran pada umur 50 tahun, maka apabila mencapai umur 51 tahun WAJIB dikenakan zakat ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan kerana telah memenuhi syarat milk al-taam kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Baki simpanan di dalam akaun 2 yang tidak dikeluarkan tidak perlu dizakatkan, kerana tidak memenuhi syarat milk  al-taam.”

 

Harus ditekankan bahawa sekiranya individu yang berumur 50 tahun TIDAK mengeluarkan simpanan di akaun 2 tersebut, apabila beliau mencapai umur 51, maka zakat perlu dibayar oleh beliau ke atas jumlah yang BOLEH dikeluarkan jika cukup nisab dan tanpa menunggu cukup haul. Baki akaun 2 yang TIDAK boleh dikeluarkan tidak perlu dibayar zakat.

 

“Bagi skim pengeluaran untuk tujuan hajah asliyah seperti pengeluaran perumahan, pengeluaran pendidikan, pengeluaran kesihatan dan pengeluaran hilang upaya kekal mesyuarat memutuskan bahawa TIDAK DIKENAKAN zakat ke atas pengeluaran-pengeluaran tersebut.”

 

Jika individu mengeluarkan zakat untuk tujuan-tujuan yang dibenarkan seperti membayar hutang rumah dan pendidikan, zakat TIDAK perlu ke atas jumlah yang dikeluarkan.

 

 

zakat

 

 

Penulis percaya masih ramai antara kita (termasuk penulis sendiri) gagal memahami perkara-perkara yang difatwakan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan ini. 

 

Diharapkan para pembaca juga dapat mengkaji juga fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Hukum Syarak di negeri-negeri lain di Malaysia.

 

Marilah kita semua memenuhi tanggungjawab kita untuk membayar zakat simpanan KWSP kerana ia adalah wajib ke atas kita. 

 

Penulis merayu agar kita dapat sama-sama menyebarkan maklumat ini supaya seluruh masyarakat memahami dan mengetahui erti zakat dengan lebih mendalam. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags