Aliran tunai, FDI & pelabur korporat dalam ekosistem industri perfileman | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 25 June 2021

Aliran tunai, FDI,& pelabur korporat dalam ekosistem industri perfileman

 

SEKIAN banyak diskusi yang membincangkan mengenai industri perfileman - kita kerapkali akan mendengar perkataan ekosistem disebut-sebut. Ekosistem menjadi perkataan kegemaran ramai antara kita dalam menggambarkan lanskap keseluruhan industri ini.

 

Namun, dalam keghairahan kita menyebut perkataan yang sedap didengar, kita juga perlu sentiasa memikirkan: adakah ekosistem yang kita gambarkan selama ini sudah cukup holistik atau sebenarnya masih terperangkap dalam sesetengah kerangka yang belum cukup menyeluruh, terutama dalam pandemik dan digital disruption yang banyak mengubah lanskap industri itu sendiri.

 

Beberapa minggu lalu, ketika berbual santai bersama rakan-rakan mengenai nasib penggiat industri perfileman, khususnya para krew produksi dalam menghadapi lockdown kini, seorang rakan mengutarakan satu persoalan yang pada saya menarik untuk diperhalusi.

 

Beliau mengutarakan tentang jumlah dan kedudukan aliran tunai dalam industri - dengan bertanya satu persoalan; adakah jumlah tunai (atau boleh dilihat sebagai jumlah nilai urus niaga) yang berada dalam industri perfileman cukup untuk membolehkan aliran tunainya sampai ke para pekerja filem.

 

Ia membuatkan saya terfikir beberapa soalan susulan yang mungkin nampak remeh, tetapi mempunyai impak besar jika kita serius dalam memikirkan ekosistem industri yang selalu kita canangkan.

 

Antaranya, adakah jumlah urus niaga dalam industri filem kini sepadan dengan jumlah syarikat produksi yang berdaftar di Malaysia? Adakah jumlah tunai yang mengalir selama ini mencukupi untuk ia mengalir sampai kepada semua pekerja filem?

 

Jika ya, mengapa para pekerja filem kita kini masih berdepan isu dibayar rendah? Jika situasi itu dikatakan atas faktor ketidakseimbangan jurang pendapatan antara penerbit dengan pekerja filem – saya melihat majoriti penerbit filem di Malaysia masih di peringkat sederhana dengan kebanyakannya berstatus perusahaan kecil dan sederhana.

 

Hasil daripada soalan-soalan tersebut, saya melihat ada satu aspek dalam ekosistem yang mungkin kurang diberikan perhatian dan perlu mula difikirkan untuk membina ekosistem mampan untuk jangka masa panjang.

 

Untuk memastikan industri berkembang, dan memastikan aliran tunai yang sihat dalam industri – usaha menggalakkan dan menarik masuk tunai ke dalam industri ini daripada kalangan pelabur harus menjadi salah satu keutamaan yang harus dilihat. Ia merupakan salah satu komponen dan tonggak penting dalam ekosistem yang perlu dibina.

 

Langkah pihak kerajaan kini membuat perbelanjaan besar ke dalam industri kandungan pada masa ini melalui pelbagai dana dan geran penerbitan adalah langkah yang dilihat wajar dan rasional dalam situasi pandemik kini, dalam memastikan aliran tunai dalam industri terus berjalan ketika situasi yang cukup mencabar ketika ini.

 

 

kreatif
MDEC adalah antara agensi yang menawarkan bantuan kepada industri kandungan di Malaysia.

 

 

Namun, perlu ada juga sebuah perancangan penyelesaian jangka masa panjang kepada industri dalam konteks ini – apatah lagi jika membina ekosistem yang mampan menjadi salah satu hasrat kita.

 

Saya melihat salah satu usaha yang boleh digerakkan oleh agensi berkaitan adalah untuk memain peranan dalam menggalak dan memudah cara sebarang pelaburan dari pemodal dan pelabur ke dalam industri ini.

 

Ini termasuklah dari dua kategori yang saya lihat berpotensi iaitu pelaburan dari syarikat senaraian awam (public listed company) dan pelaburan langsung asing (FDI).

 

Kebergantungan kepada dana awam sebagai sumber utama pembiayaan penerbitan di Malaysia harus dikurangkan, dengan kewangan yang ada boleh disalurkan untuk usaha membina persekitaran industri yang lebih mesra pelabur.

 

Pelaburan yang dimaksudkan bukanlah pelaburan dalam sesebuah filem semata-mata, tetapi menggalakkan mereka memperkembangkan portfolio pelaburan dan perniagaan mereka dalam bidang perfileman, tidak kira melalui penubuhan anak syarikat yang menyertai aktiviti penerbitan, penubuhan entiti pelaburan filem, mengambil peranan sebagai pelabur modal teroka, sebagai angel investor, atau apa sahaja mekanisme yang dilihat sesuai dengan strategi pelaburan mereka.

 

Insentif cukai, pengurusan birokrasi, pengendalian risiko industri, malah pakej pelaburan lestari boleh dirangka dan diusahakan dalam meyakinkan para pelabur bahawa ini adalah industri yang stabil dan berdaya tahan sebagai pelengkap kepada persepsi umum terhadap perkembangan industri yang dilihat semakin baik.

 

Buat masa ini, hanya dua syarikat senaraian awam tempatan yang melibatkan diri secara proaktif dalam dunia perfileman adalah ASTRO dan Media Prima Berhad, kedua-duanya mungkin atas faktor teras perniagaan kedua entiti dalam industri media yang mana mereka membuat pelaburan langsung melalui anak-anak syarikat mereka yanga aktif dalam aktiviti penerbitan dan pengedaran filem.

 

 

kreatif

 

 

Jika kita mampu membawa beberapa syarikat senaraian awam lagi yang berpotensi membawa impak sepertimana yang dibawa oleh pelaburan ASTRO dan Media Prima ke dalam industri, saya pasti ia juga akan memberikan kesan signifikan kepada kadar pertumbuhan sumbangan industri filem kepada KDNK.

 

Beberapa syarikat senaraian awam seperti Sedania Innovator (berteras IT), AirAsia (berteras penerbangan & IT), Serba Dinamik (berteras minyak & gas) dan Safuan Group Berhad sebelum ini dilihat seolah mempunyai kecendurungan ke arah industri kreatif.

 

Dan saya percaya jika ada pihak yang mendekati secara dekat para eksekutif pelaburan atau lembaga pengarah mereka bagi menggambarkan tentang potensi industri ini sebagai cabang portfolio yang berpotensi dengan data yang meyakinkan, tidak mustahil syarikat-syarikat ini akan mula memikirkan kemungkinan tersebut.

 

Syarikat senaraian awam ini mempunyai kekuatan kewangan untuk membuat pelaburan yang lebih berimpak, dan dalam jangka masa panjang berbanding pelabur dan syarikat persendirian.

 

Dalam konteks pelaburan asing, sememangnya sudah mula memperlihatkan potensi apabila beberapa syarikat produksi yang melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) ditubuhkan di Malaysia, terutama dari China dan Hong Kong. Syarikat-syarikat ini dilihat mempunyai impak signifikan kepada industri kandungan negara termasuklah dari segi akses dan jaringan pengedaran.

 

Bagaimanapun, setakat ini kebanyakan pelaburan ini adalah berasaskan strategi dan keputusan entiti masing-masing. Jika negara kita mempunyai sebuah perancangan khusus dalam menggalakkannya, ia pastinya memberikan hasil yang lebih besar.

 

Beberapa insentif kerajaan sedia ada seperti insentif cukai bagi syarikat berstatus MSC, Filming in Malaysia Incentive (FIMI), insentif bagi syarikat di Wilayah Iskandar (IRDA) dan sebagainya boleh diintegrasi bagi menjadi sebuah tawaran yang komperansif – dan dijadikan proposal pelaburan yang menarik.

 

Agensi berkaitan seperti FINAS boleh memulakan usaha mendekati dan meyakinkan Malaysia Investment Development Authority (MIDA) untuk mereka membawa industri kandungan dan perfileman sebagai salah satu sektor dan tawaran utama dalam katalog mereka kepada pelabur asing. - DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF)

 

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 
 

  1. Keperitan Usahawan Seni Budaya Menghadapi Pandemik

  2. JAMINAN MASA DEPAN PASARAN SUMBER MANUSIA INDUSTRI KREATIF
     
  3. PENGGAMBARAN LUAR STUDIO WAJAR DIBENARKAN SEMULA SELEWATNYA FASA 3 LOCKDOWN 
     
  4. STRATEGI-STRATEGI ASTRO MENGHADAPI DIGITAL DISRUPTION
     
  5. Industri filem berdepan semakin banyak kepupusan pekerjaan
     
  6. MENJANA EKONOMI KREATIF DALAM DUNIA PERBUKUAN
     
  7. Industri Kandungan Faktual Malaysia perlu diberi penekanan
     
  8. Lokasi filem jadi magnet pelancongan pasca COVID-19
  9. Malaysia wajar sertai UNESCO Creative Cities Network (UCCN)

  10. KEDUDUKAN KANDUNGAN KREATIF DALAM WILAYAH EKONOMI & PEMBANGUNAN SERANTAU
     
  11. Akreditasi & penyumberluaran penting kepada pembangunan kandungan kreatif Malaysia
     
  12. POTENSI BESAR UNTUK PENERBIT KANDUNGAN DI BORNEO
     
  13. COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI
  14. Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

  15. ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?
     
  16. BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags