AirAsia X raih kelebihan dalam kerjasama dengan GEODIS, PublicInvest ulangi pandangan 'outperform' | DagangNews Skip to main content

AirAsia X raih kelebihan dalam kerjasama dengan GEODIS, PublicInvest ulangi pandangan 'outperform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Jan - Kerjasama AirAsia X Bhd. dengan perkhidmatan pengangkutan dan logistik terkemuka global, GEODIS mampu memperkukuhkan fokus syarikat penerbangan tambang murah jarak jauh itu terhadap perkhidmatan kargo, menurut Public Investment Bank Research (PublicInvest).

 

Melihat perkembangan itu sebagai sangat menarik, firma itu mengulangi pandangan 'outperform' terhadap AirAsia X dengan harga sasaran tidak berubah pada 13 sen. 

 

"Walaupun kumpulan telah mengendalikan perkhidmatan carter untuk GEODIS dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi pengaturan baharu ini akan memberi kepastian yang lebih baik mengenai penggunaan pesawatnya dan pendapatan yang lebih baik.

 

"Malah, kami juga gembira melihat langkah pemulihan yang dilaksanakan AirAsia X, meskipun nilai penuh mungkin hanya dapat dicapai dengan pemegang saham melalui keseluruhan pelaksanaan korporat (termasuk terbitan hak)," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, syarikat penerbangan itu mengumumkan kerjasama logistik GEODIS, untuk menyediakan kapasiti kargo tambahan dan meningkatkan pendapatan memandangkan penerbangan komersialnya yang tidak  beroperasi buat masa ini.

 

Kerjasama tersebut adalah untuk tempoh 6 bulan pertama bermula 20 Januari 2022 dan tempoh selanjutnya akan dipertimbangkan. 

 

 

Baca : AirAsia X jalin kerjasama logistik udara bersama GEODIS bagi tingkatkan pendapatan kumpulan

 

 

Di bawah kerjasama itu, AirAsia X akan menyediakan penerbangan kargo berjadual khusus secara tetap antara Kuala Lumpur dan Hong Kong, Chennai, Shanghai dan Sydney.

 

Dengan rangkaian yang luas di Asia Pasifik, kerjasama dengan GEODIS bukan sahaja akan memanfaatkan rangkaian AirAsia X sedia ada, malah akan merangsang trafik kargo udara tambahan di beberapa pasaran di mana kedua-keduanya beroperasi.

 

Mengenai cadangan penstrukturan korporat, PublicInvest berkata, AirAsia X telah mengumumkan bahawa cadangan pengurangan modal saham telah selesai pada 26 Januari 2022. 

 

Cadangan penyatuan saham yang melibatkan penyatuan 10 saham AirAsia X sedia ada kepada 1 saham disatukan akan diselesaikan pada 11 Februari ini, iaitu tarikh kelayakan untuk penyatuan saham (tarikh sebelum ini pada 10 Februari 2022). Penyatuan saham ini akan disenaraikan dan disebut harga pada 14 Februari 2022.

 

Jelas firma itu, cadangan penstrukturan korporat (merangkumi cadangan pengurangan modal saham dan penyatuan saham) adalah langkah kedua yang diambil dalam pelan pemulihan kumpulan bagi membantunya mengumpul dana untuk menghidupkan semula operasi perniagaan. 

 

Setakat 10.17 pagi ini, saham AirAsia X kekal tidak berubah pada 5.5 sen dengan 1.86 juta saham diniagakan. - DagangNews.com