Agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera perlu lebih berani, radikal | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 1 December 2021

Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Perlu Lebih Berani, Radikal

 


 

KERAJAAN perlu lebih berani dan radikal dalam melaksanakan pelaksanaan strategi dan inisiatif bagi memperkasa ekonomi bumiputera.

 

Jika kerajaan mahu betul-betul memenuhi agenda ini, usaha memperkasa bumiputera perlu dilakukan oleh kerajaan dengan sokongan pelbagai pihak bagi memastikan lonjakan yang besar terhadap ekonomi bumiputera dan mengubah landskap sosio-ekonomi kaum bumiputera.

 

Peranan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB)

 

mkb

 

Siapakan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas ini?

 

Adakah MKB yang bertujuan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi Bumiputera mampu menjalankan fungsikan dalam mencapai objektif yang disasarkan?

 

Seharusnya, MKB perlu bertindak sebagai kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

 

Dalam memperkasa ekonomi bumiputera, kerajaan boleh membantu dengan pelbagai tindakan seperti memberi keutamaan bagi pembelian dan perkhidmatan diberikan kepada pembekal-pembekal bumiputera termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga 50% daripada bajet tahunan syarikat milik kerajaan.

 

Namun pastinya ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati. Jika kerajaan betul-betul berani dan tekad untuk memperkasa ekonomi bumiputera, ia boleh dilakukan. Tepuk dada, tanya selera!


 

mara

 


MARA, Teraju dan Ekuinas Boleh Bantu

Peranan dan fungsi entiti bumiputera perlu untuk membantu memperkasa ekonomi bumiputera. Satu garis panduan boleh dikeluarkan kepada semua entiti ini bagi urusan pembelian bagi membantu syarikat-syarikat bumiputera.

 

Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) perlu membuat pembelian barangan dan perkhidmatan daripada pembekal-pembekal bumiputera sehingga 100%.

 

Perlu Ada Kuota Dalam Premis Perniagaan

Dari perspektif lain, dilihat kaum bumiputera gagal menempatkan diri dalam premis perniagaan yang strategik, utama atau elit?

 

Adakah mereka tidak layak? Tidak cukup modal? Tak mampu bersaing?

 

Ramai juga yang membangkitkan isu tentang banyak kontrak atau kuota perniagaan diberi kepada bukan bumiputera.

 

Adakah hal ini benar?

Benar atau tidak, kerajaan perlu menyediakan kuota premis perniagaan milik bumiputera di lokasi strategik, utama dan elit. Ianya perlu diwujudkan selaras usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi kaum bumiputera.

 

Kerajaan perlu menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya diuruskan oleh syarikat tempatan dalam memastikan peniaga-peniaga tempatan khususnya Bumiputera mendapat peluang menjalankan perniagaan mereka dan tidak dianaktirikan.

 

Langkah itu bagi memastikan matlamat utama untuk membantu perniagaan bumiputera dalam dilaksanakan dengan baik.


 

volatiliti

 


Kesan Kerajaan Meratifikasi CPTPP Kepada Bumiputera

Kerisauan kaum bumiputera terus dihantui apabila kerajaan ingin meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP)?

 

Apakah kesan kerajaan CPTPP ini? Adakah ia akan menggugat hak bumiputera?

 

Kerajaan perlu memastikan hak bumiputera tidak akan terjejas walaupun kerajaan meratifikasi CPTPP ini.

 

Peruntukan yang jelas perlu digariskan bagi melindungi hak bumiputera dalam kandungan Annex II Non-Conforming Measures di bawah Perjanjian CPTPP.

 

Kerajaan perlu memberi jaminan melalui perolehan kerajaan dengan memberi kelonggaran dan fleksibiliti untuk membangunkan syarikat-syarikat tempatan dan bumiputera dengan memperuntukkan sehingga 20%-30% daripada nilai kontrak perolehan kepada kontraktor bumiputera walaupun CPTPP telah berkuatkuasa.

 

Walaupun CPTPP ini merupakan perjanjian antarabangsa, kerajaan perlu cakna tentang hak keistimewaan bumiputera yang merupakan satu daripada tunjang Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan tidak boleh  berkompromi dalam mempertahankan dasar ini.


 

volatiliti

 


Selagi Ada Bulan dan Bintang

Apabila bercerita tentang hak keistimewaan bumiputera ini, asasnya melindungi hak ini melalui Perkara 153, Perlembagaan Malaysia.

 

Perkara 153, Perlembagaan Malaysia memberikan Yang di-Pertuan Agong (Raja Malaysia) tanggungjawab untuk "menjaga kedudukan istimewa” Bumiputera.

 

Seperti yang kita sedia maklum, Perkara 153 adalah satu perkara paling berkontroversi dalam Perlembagaan Malaysia.

 

Rata-rata pengkritik menganggapnya mewujudkan perbezaan yang tidak perlu dan perkauman antara rakyat Malaysia yang berlainan etnik, kerana telah menyebabkan pelaksanaan tindakan afirmatif  – dasar yang hanya menguntungkan bumiputera, yang terdiri daripada majoriti penduduk.

 

Namun begitu, secara teknikal, membincangkan pemansuhan Perkara 153 adalah diharamkan di Parlimen.

 

Walaupun terdapat larangan perbincangan ini, namun begitu Perkara 153 ini sering diperdebatkan secara terbuka dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang  menentang pelaksanaan  perkara ini.

 

Selagi ada bulan dan bintang, kerajaan hari ini perlu mempertahankan hak keistimewaan kaum bumiputera ini. Hak keistimewaan kaum bumiputera ini jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sejak dahulu lagi.

 

Adakah Payung Pembangunan Bumiputera Benar- Benar Sebagai Payung?

Untuk memastikan agenda bumiputera terus diperkasa seterusnya, kerajaan pimpinan Ismail Sabri berjanji yang akan memberi tumpuan dalam memakmurkan ekonomi bumiputera untuk masa hadapan.


 

volatiliti

 


Namun, adakah benar-benar janji  ini akan dipenuhi?

Seperti yang kita sedia maklum, dalam Bajet 2022, kerajaan telah menyasarkan peruntukan sebanyak RM11.4 bilion bagi melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah “Payung Pembangunan Bumiputera”

 

Peruntukan sebanyak RM4.8 bilion dikhususkan untuk pelbagai program peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan perlu sampai ke akar umbi.

 

Peruntukan yang disalurkan melalui Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), TEKUN Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera, perlu dirangka dengan baik dan kurangkan birokrasi bagi memastikan strategi pembangunan perniagaan bumiputera agar dapat melahirkan usahawan berdaya tahan dan progresif, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

 

Apa yang rakyat dan kaum bumiputera harapkan agar payung yang dijanjikan akan benar-benar menjadi payung yang melindungi bumiputera tak kira “panas atau pun hujan”.

 

Masa Untuk Bekerja

Bagi memastikan semua “janji” kerajaan dalam pemerkasaan bumiputera yang telah diterjemahkan melalui penggubalan dasar, strategi dan inisiatif yang akan digarap secara terperinci melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12):2021-2025, mekanisme kawal selia dan pemantauan perlu dibuat bagi memastikan dasar ini tidak sekadar cantik di atas kertas sahaja.

 

Kini, setiap kementerian mempunyai unit memperkasa bumiputera. Melalui MKB, Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian dan agensi Kerajaan telah ditubuh dan dibentuk.

 

Unit ini berperanan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda bumiputera seperti yang telah diputuskan di peringkat MKB.

 

Pastikan unit ini menjalankan fungsi dan peranannya di setiap kementerian bagi memperkasakan kaum bumiputera. Kini, tibalah masa untuk bekerja!

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

Portfolio Tags