Aeon berkolaborasi dengan Omar & Hana perkenalkan 5 pilihan Onigiri | DagangNews Skip to main content

Aeon berkolaborasi dengan Omar & Hana perkenalkan 5 pilihan Onigiri

Majlis pelancaran Onigiri Omar & Hana di Aeon Mall Shah Alam.

SHAH ALAM 16 Mei - Aeon Co. (M) Bhd berkolaborasi dengan kumpulan animasi Omar dan Hana yang sangat sinonim dengan konten video Islamik dalam kalangan kanak-kanak melancarkan perisa baharu dalam rangkaian produk onigiri. 

 

Terdapat 5 perisa yang diperkenalkan untuk pasaran kanak kanak dan turut diwakili oleh watak di dalam animasi Omar & Hana. Kacang Merah (Red Bean) diwakili oleh Omar, Kacang dan Coklat (Choco Peanut) diwakili oleh Hana, Kentang dengan mayonis (Potato Mayo) diwakili oleh Sara, Tuna dengan mayonis (Tuna Mayo) diwakili oleh Yuki dan Ketam dengan mayonis (Kani Mayo) diwakili oleh Indra.

 

Majlis yang diadakan di Aeon Mall Shah Alam itu dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi Aeon, Sunny Setiawan, Ketua Pegawai Sumber Manusia Aeon, Dr Kasuma Satria; CEO & Pengasas Digital Durian Sinan Ismail dan wakil Pengurusan IP Tempatan & Pembangunan Perniagaan Astro, Izrol Izuddin Ahmad.

 

Menurut Sunny, pihaknya bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan kumpulan animasi terkenal Omar & Hana untuk memasarkan rangkaian onigiri dengan perisa terbaharu kami.

 

Katanya, usaha sama ini merupakan satu langkah Aeon untuk menggiatkan pembangunan produk asimilasi Malaysia-Jepun dan kami yakin produk ini mampu mendapat sambutan yang baik dari para pelanggan Aeon dan peminat Omar & Hana sendiri.

 

Beliau berkata, pemilihan produk onigiri sebagai pencetus kolaborasi ini juga adalah bertujuan untuk memperkenalkan budaya makan makanan sihat dan berkhasiat dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

 

Onigiri juga merupakan makanan dari Jepun yang bukan sahaja boleh dimakan segera malah mengenyangkan. Justeru, Aeon ingin membawa corak dan budaya
pemakanan yang sihat ini di Malaysia.

 

"Kami ingin jadikan Aeon sebagai duta kecil Jepun di Malaysia yang dapat memperkenalkan dengan lebih dekat budaya positif masyarakat Jepun. Produk yang akan dihaslkan oleh Aeon Delicatessen ini juga adalah disahkan halal oleh JAKIM.’ ujar beliau lagi.

 

 

AEON

 

 

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran maskot Omar dan Hana yang mempromosikan rangkaian onigiri tersebut serta aktiviti kuiz bersama pengunjung. Tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan tayangan perdana video dan lagu onigiri Omar & Hana.

 

Menurut Sinan pula, “Bagi melaksanakan kerjasama ini, kami ingin memperkenalkan makanan yang berkhasiat dan senang dimakan oleh kanak-kanak. Kami yakin onigiri adalah produk yang paling tepat. Ianya berasal dari Jepun dan merupakan antara makanan yang amat digemari waktu kini,”

 

“Kami juga berasa amat bertuah dapat berkolaborasi dengan pihak Aeon, sebuah syarikat yang mempunyai rangkaian pasar raya yang luas. Melalui rangkaian ini, sudah tentu onigiri Omar & Hana dapat dinikmati oleh ramai pelanggan di seluruh negara, bukan sahaja kanak kanak, malah orang dewasa.” ujar beliau. - DagangNews.com