Adab bertempur diilhamkan kisah Tun Saban dan Megat Terawis | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 26 June 2021

ADAB BERTEMPUR DIILHAMKAN KISAH TUN SABAN DAN MEGAT TERAWIS

 

 

HARI ini kita dengar kisah ‘political satire’ berkisar  kisah ‘tikam belakang’ dan ‘katak melompat’ amat melucukan, tetapi sebenarnya paling mendukacitakan. Manakah pergi adab bertempur orang Melayu yang berhemat?

 

Di sini saya ingin kongsikan kisah Tun Saban dan Megat Terawis yang diilhamkan dari Misa Melayu untuk mengenang pertempuran bangsa beradab. Semoga perkongsian ini mengingatkan kita adab berjuang Melayu. Menghormati lawan dan adat di gelanggang.

 

Setelah ditawan Feringgi, Melaka terus merudum, sinar kebesarannya hilang. Orang-orang besar Melaka membawa diri ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu kerana ulat Feringgi itu ada di serata pelusuk. Yang menjatuhkan Melaka itu, orang Melaka sendiri dan mereka yang taksub dengan kekayaan Melaka.

 

Salah seorang adalah Tun Saban merenung jauh ke banjaran gunung menghijau mengenang peristiwa lampau. Sejak meninggalkan Melaka, Tun Saban membawa diri bersama keluarga. Hilang sudah Laksamana Tun Tuah. Hilang Tun Segara. Hilang Tun Mamat. Tun Saban sendiri ke Hulu Muar, ke Bentan, kemudian ke Patani dan akhirnya sampai ke Belum, di Hulu Perak.

 

Tun Saban jatuh hati dengan keadaan aman damai dan permai lalu membuka kampung diberi nama Rilap Reli, di Hulu Perak. Namun tidak lengkap membuka negeri tidak beraja. Setelah berbulan lamanya, Tun Saban menetapkan keputusan pergi mengadap Sultan Mahmud dan Tun Fatimah di Kampar demi membawa pulang seorang Sultan ke bumi Tanah Melayu tercinta.

 

Perjalanan berbulan lamanya meredah bukit bakau, samudera luas kini menampakkan pintu gerbang tersergam indah dan istana tujuh lapisan langit setibanya rombongannya ke Kampar.

 

 

Begitu senang hati Tuanku Sultan Mahmud menerima kedatangan Tun Saban membawa hajat besar, “Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun. Patek membawa hajat besar dari Perak turun ke Kampar. Manakan laut tidak berombak. Manakan sungai tidak berbeting. Negeri permai aman damai di Perak amat memerlukan Raja. Raja keturunan pemerintah dulu-dulu…Ampun Tuanku.”

 

“Beta faham hajat di hati, Orang Kaya Tun Saban. Tapi apakah janji Demang Lebar Daun berulang kembali?”

 

Tun Saban terus menyahut, “Daulat Tuanku. Patek menurut titah Tuanku.” Dengan itu termeterailah janji untuk mendirikan kerajaan di Perak. Dipersetujui akhirnya, adalah lebih baik Raja Mudzaffar dibawa ke Perak untuk menjadi Sultan.

 

Tetapi perjalanan ke Perak itu jauh penuh pancaroba. Yang diPertuan Pagar Ruyung mendapat khabar bahawa Raja Melayu bakal bertakhta di Perak dan mengutuskan puteranya Megat Terawis untuk bersama-sama Raja Mudzaffar berangkat. Megat Terawis ini tersohor kerana hebat ilmu silat dan ilmu perangnya, sesuailah melindungi Raja baru Perak nanti.

 

 

hikayat

 

***

 

Maka belayar lah Rombongan DiRaja menyeberangi Selat Melaka yang tersohor sejak zaman berzaman. Apabila sampai saja ke Perak,  tanpa berlengah lagi, Raja Mudzaffar ditabal Sultan Perak bergelar Sultan Mudzaffar Syah di Tanah Abang.

 

Bermulalah kehidupan di Perak beraja berdaulat, disayangi rakyat. Namun, Tun Saban makan hati melihat Sultan Mudzaffar lebih mendengar kata pembesar dari Kampar dan Pagar Ruyung. Malah banyak keputusan tidak dibawa berunding.

 

Apakah sejarah lama bakal berulang kembali?

 

***

 

Tun Saban bermuram durja. Hari demi hari, Tun Saban terasa semakin jauh dari perihal istana. Tun Saban telah melalui azab peperangan, pencerobohan dan kejatuhan di Melaka. Duka lara yang dilalui tidak mungkin difahami oleh orang kaya dan hulubalang pada zaman ini. Seorang pendekar tidak mungkin dapat hidup senang lenang. Keresahan yang dirasai, dikeruhkan lagi dengan sikap yang asyik leka.

 

Selang beberapa lama, berlaku perselisihan faham berlaku antara Sultan dengan Tun Saban. Sikap Tun Saban yang begitu garang dan bengis tidak serasi dengan suasana istana. Semakin hari semakin meruncing dan akhir sekali, Sultan menjemput Tun Saban masuk mengadap.

 

Apabila sampai, Sultan bertitah meminta Tun Saban menyerahkan puteri kesayangannya Tun Merah yang sesuai benar untuk tinggal di istana sebagai tanda berdamai. Tun Saban naik berang tetapi pantang hulubalang Melayu membuat onar dalam istana. Tun Saban pun berkata, “Anakanda Tun Merah? Ampun Tuanku. Izinkan patek pulang sehari dua Tuanku…”

 

Sampai di rumah, amarah Tun Saban semakin meluap dan tidaklah dihantarnya Tun Merah. Sultan menunggu selama dua hari dua malam. Akhirnya sedarlah Sultan bahawa Tun Saban engkar tidak menurut titahnya. Malah, Tun Saban memberang di kampungnya. Kata-kata sampai ke telinga Sultan. Dukacita bercampur murka. Derhaka tidak ada penyelesaian. Hanya nyawa bercerai badan.

 

Sultan Mudzaffar Syah terus bertitah menghantar panglima untuk menghukum Tun Saban yang dikatakan menderhaka, melanggar janji dengan AlMarhum Sultan Mahmud di Kampar. Hukuman derhaka hanyalah satu. Tetapi tiada siapa yang berani kerana Tun Saban hebat berilmu, kebal pula.

 

Setiap hari ada yang cedera, ada yang meninggal dunia bertikam lidah dan keris dengan Tun Saban. Akhirnya Megat Terawis tampil ke hadapan memberi sembah. “Ampun Tuanku, kerajaan kita akan binasa jika huru-hara berterusan. Akan patek pergi menghentikan sengketa.”

 

Hutang darah dibayar darah
H
utang budi dibawa mati
Pantang kita menyerah kalah

Kedaulatan diraja tiada pengganti
Namun kehormatan pasti diberi
Kerna Tun Saban banyak berbakti

 

Megat Terawis memulakan persiapan empat puluh hari empat puluh malam membuat senjata untuk menembusi ilmu kepandaian Tun Saban yang lebih tua, jauh lebih banyak pengalaman. Sampai saat dan ketika, Megat Terawis berjalanlah ke arah rumah Tun Saban. Tun Saban pun tahu, harinya telah tiba. Sesiapapun yang datang, siapalah gerangan.

 

Maka Tun Saban mengambil kalam, menulis wasiat pesanan untuk pendekar bakal tiba.

 

Pertama, jagalah adat resam dan budaya
Kedua, lindungilah mereka yang dianiaya
Ketiga, nikahilah Tun Merah anakanda tercinta

 

 

Tun Saban duduk membaca al-Quran di serambi. Teringat dunia Melaka yang ditinggalkan. Apakah nasib dunia Melayu di hari-hari terakhir zaman ini?

 

Dari jauh Megat Terawis memberikan salam tanda hormat pendekar. Tun Saban memerhatikan langkah pendekar terbilang maju kehadapan. Tidak gentar. Tidak teragak-agak. Pahlawan Melayu berambut panjang. Keris di pinggang. Ishtinggar di tangan. Alhamdulillah.

 

Megat Terawis mengacukan istinggar. Tun Saban berdiri lalu berteriak, “Allahuakhbar!” Terus peluru perak terguris di tumit Tun Saban. Tun Saban tahu, kalahlah kebalnya dengan peluru perak itu. Dia pun berpaling, masuk ke rumah berpesan dengan anakandanya…

 

 

istinggar
ISTINGGAR atau pistol yang dipamerkan di Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia.

 

“Tun Merah. Ayahanda akan pulang ke rahmatullah, Insya-Allah……. Bacakan fatihah untuk ayahanda.”

 

Megat Terawis datang bersalam dengan Tun Saban terbilang. Warqah dihulur bertukar tangan.

 

Tiga hari lamanya bisa peluru perak merebak ke seluruh tubuh badan Tun Saban dan akhirnya meninggal dunialah panglima berjiwa besar, jati diri terulung. Kesemua wasiat diikut terutamanya supaya Megat Terawis memperisterikan Tun Merah dan menjaganya dengan baik.

 

Dengan itu bermulalah susur galur Bendahara Perak keturunan Megat Terawis yang tersohor. Dari Pagar Ruyung ke Perak, warisan berzaman…

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com

 

 

 

 

BACA KOLEKSI DARI HIKAYAT KITA:
 

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags