Ada polisi takaful pun tidak bantu jaga kebajikan anak kecil semasa pandemik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 16 August 2021
Wasiyyah

Ada polisi takaful pun tidak bantu jaga kebajikan anak kecil semasa pandemik

 

 

SANGAT menyedihkan apabila kita membaca kisah anak yang masih kecil menjadi yatim piatu bila ibu bapa meninggal dunia akibat COVID-19. Kalau dulu, kita hanya mendengar cerita pasangan muda meninggal dunia serentak  akibat  kemalangan sahaja . Itu pun jarang-jarang kedengaran.

 

Bila ada kisah sebegini, ia dapat liputan akhbar yang sangat meluas. Ramai dalam kalangan masyarakat akan bersimpati dengan nasib anak yatim piatu ini. Sedekah dan pelbagai bantuan lain mencurah datang. Ramai saja VVIP akan mengambil anak yatim piatu ini sebagai ‘anak angkat’ bagi dijaga kebajikan mereka.  

 

Tetapi hari ini kisah ibu bapa pasangan muda meninggal dunia serentak atau berturutan akibat COVID-19 hampir setiap hari kita dengari. Kemampuan masyarakat untuk memberi bantuan terutama kewangan juga terhad kerana ramai dalam kalangan masyarakat hari ini sudah jatuh miskin kesan ekonomi yang terjejas akibat COVID-19.

 

Malah kemampuan  kerajaan untuk membantu anak yatim piatu cilik ini juga semakin terhad. Kerana jumlah kes yang terlalu banyak, VVIP nak lawat anak-anak yatim piatu ini sambil mengumumkan bantuan dan mengambil mereka sebagai ‘anak angkat’ pun dah tak larat.  

 

Kesimpulannya, jika anda pasangan muda dan ada anak kecil bawah umur 18 tahun, andalah yang mesti berfikir secara serius bagaimana nasib anak anda sekiranya anda dan pasangan meninggal dunia serentak atau secara berturutan akibat COVID-19. Andalah yang mesti bertindak segera hari ini bukan mengharapkan bantuan orang lain.

 

Anda masih merasakan anda masih muda dan perjalanan kehidupan anda masih panjang? Anda masih ada banyak masa untuk berbuat sesuatu melindungi kebajikan anak-anak kecil anda? COVID-19 mustahil akan hinggap ke atas anda? Lihatlah di sekeliling dan belajar dari kisah orang lain. COVID-19 boleh memisahkan anda dengan anak cilik anda dalam masa beberapa hari sahaja !

 

Bila saya mendengar kisah pasangan muda meninggal dunia serentak atau berturutan dan meninggalkan anak kecil yatim piatu sebegini, saya sering tertanya kepada diri sendiri, adakah ibu bapa muda ini telah berbuat sesuatu untuk menjaga kebajikan anak kecil mereka? Apakah persediaan yang mereka lakukan untuk ‘meninggalkan’ anak kecil mereka secara tiba-tiba? Adakah anak-anak mereka mampu meneruskan kehidupan tanpa mereka? Nak tinggalkan harta, yang ada banyak pada usia muda ialah hutang!

 

Wasiyyah

 

 

Kebanyakan pasangan muda yang saya jumpa menjadi peserta takaful dan menamakan anak bawah umur 18 tahun itu sebagai penerima hibah bagi mengatasi cabaran ini.

 

Katanya bila dia mati, maka anaknya itulah yang akan mendapat manfaat takaful maka terjagalah nasib dan kebajikannya. Memang ini  tindakan paling tepat dan bersesuaian bagi pasangan muda.

 

Saya sentiasa menggalakkan orang muda untuk menjadi peserta takaful kerana memang hakikatnya anak-anak kecil  mereka akan memerlukan wang tunai yang banyak bagi pelbagai urusan  kehidupan sekiranya ibu bapa mereka meninggal dunia dalam keadaan mereka masih berumur di bawah 18 tahun.  

 

Namun tanpa mereka sedari, Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang merupakan undang-undang yang mengikat takaful di Malaysia, telah menetapkan, sekiranya anak itu di bawah umur 18 tahun dan dia dinamakan sebagai penerima hibah, pihak yang akan boleh menuntut manfaat polisi takaful itu bagi pihak anak ialah bapa kandung atau ibu kandungnya.

 

Apa jadi pula kalau kedua-dua ibu bapa itu meninggal dunia serentak atau berturutan akibat COVID-19?

 

Jika nilai polisi itu kurang dari RM50,000, maka bolehlah ‘pihak menuntut wajar’ seperti datuk, nenek, bapa saudara atau ibu saudara menuntut dari syarikat takaful. Syarikat takaful akan membayar kepada mereka dan mereka akan menguruskan duit itu bagi pihak penerima hibah cilik ini.

 

Jika nilai polisi itu melebihi RM50,000 pula? Dalam keadaan kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia, maka pihak yang berhak menuntut manfaat polisi takaful untuk menjaganya secara amanah bagi pihak anak itu itu ialah Amanah Raya Berhad atau syarikat amanah yang telah dilantik oleh pemilik polisi semasa hidupnya.

 

Wahai pasangan muda, isunya ialah adakah anda telah membuat pelantikan  syarikat amanah bagi memegang secara amanah manfaat takaful bagi pihak anak-anak bawah umur anda, takut-takut anda dan pasangan meninggal dunia kerana COVID-19?

 

 

Wasiyyah

 

 

Adakah syarikat amanah yang anda lantik tahu tentang kewujudan polisi takaful anda? Siapa pula dalam kalangan waris yang tahu anda telah melantik syarikat amanah itu dan boleh memaklumkan mereka tentang kematian anda supaya prosiding menuntut polisi takaful anda boleh dibuat dengan cepat dan anak kecil anda menerima dengan cepat bahagiannya tadi?

 

COVID-19 menuntut perspektif kita tentang harta dan pusaka diubah. Kalau dulu, ramai yang merancang harta atau melantik syarikat amanah sebagai wasi harta pusakanya, tidak bercerita kepada sesiapa tentang urusan itu.

 

Selepas COVID-19, tiada lagi rahsia-rahsia tentang harta seperti sebelum COVID-19. Anda mungkin tidak mahu bercerita tentang bagaimana anda sudah rancang agihan  harta anda tetapi anda perlu bercerita kepada seberapa ramai ahli keluarga terdekat tentang pelantikan syarikat amanah yang anda buat. Apabila berlaku kematian, akan mudah untuk syarikat amanah mengetahuinya dan memulakan segala prosiding yang berkaitan.

 

Bersegeralah mengumpulkan semua dokumen-dokumen berkaitan seperti sijil nikah, sijil kelahiran dan maklumat semua harta yang dimiliki di dalam satu beg dan disimpan dengan kemas di tempat yang mudah dijumpai.

 

Dokumen-dokumen ini sangat kritikal kerana ia diperlukan bagi semua urusan selepas kematian anda. Jika ia gagal dijumpai, maka urusan pusaka akan jadi sangat lambat dan bermasalah. Dalam keadaan ini, apa pula nasib anak-anak anda yang masih kecil itu? Mereka tidak boleh ‘tangguh makan’, ‘tangguh pembelajaran’ dan tangguh segala perkara dalam kehidupan semata-mata kerana belum menerima manfaat polisi takaful yang anda tinggalkan.

 

Dari penerangan saya ini, jelas bahawa menjadi peserta takaful dan menamakan anak bawah umur 18 tahun itu sebagai penerima hibah sahaja tidak menjamin kebajikan anak itu akan terjaga sekiranya anda dan pasangan meninggal dunia serentak atau berturutan akibat COVID-19. 

 

Anda mesti membuat pelantikan syarikat amanah bagi tujuan menjadi pemegang amanah sekiranya situasi tidak dijangka ini timbul. Anda juga perlu memastikan seberapa ramai waris terdekat anda tahu tentang pelantikan ini dan dokumen-dokumen berkaitan juga disimpan dengan kemas.

 

Semenjak COVID-19 melanda, kita semua tanpa mengira umur dan pangkat, perlulah bersedia dengan urusan ini kerana sesungguhnya maut itu sangat hampir dengan kita. Hal ini lebih mendesak bagi terutamanya pasangan muda yang ada anak di bawah umur 18 tahun!

 

 

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah Shoppe Berhad

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Portfolio Tags