5 pelanggan bertuah Co-opbank Pertama menang motosikal Yamaha Ego Solariz | DagangNews Skip to main content

5 pelanggan bertuah Co-opbank Pertama menang motosikal Yamaha Ego Solariz

Khairil Anuar Mohammad Anuar (tiga dari kiri) beramah mesra dengan para pemenang Kempen 12.12 anjuran Co-opbank Pertama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Seramai 5 pelanggan bertuah Co-opbank Pertama (CBP) menerima motosikal Yamaha Ego Solariz, hari ini sempena Kempen 12.12 yang diadakan pada Disember tahun lalu.

 

Para pemenang tersebut adalah Mohd Fikri Che Hussain, Suhaibah Othman, Sharizawati Salim, Mohamad Zulkahizam Mohamad Zuldin dan Ahmad Wahed. 

 

Majlis penyampaian hadiah diadakan di ibu pejabat CBP dan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, yang turut dihadiri pihak pengurusan kanan CBP.

 

Kempen 12.12 merupakan lanjutan daripada Kempen 10.10 yang berjaya menarik perhatian masyarakat untuk mendapatkan pembiayaan peribadi-i di CBP. 

 

Khairil Anuar berkata, menerusi kedua-dua kempen berkenaan, pelanggan bertuah daripada setiap cawangan CBP berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhan hadiah mencecah RM150,000.

 

Beliau berkata, CBP berterima kasih kepada pelanggan yang sentiasa menyokong institusi kewangan itu selama lebih 70 dekad penubuhannya. 

 

“CBP juga kini dalam perancangan untuk melebarkan lagi produk pembiayaan yang diperlukan oleh masyarakat.

 

"Kini, kami merancang untuk mempelbagaikan lagi produk pembiayaan patuh syariah seperti pembiayaan sewa beli, pembiayaan mikro dan pelbagai lagi yang akan meluaskan lagi pasaran kita. 

 

 

coop
Khairil Anuar Mohammad Anuar

 

 

“Pastinya, dengan kepelbagaian produk pembiayaan ini, ianya akan meluaskan pasaran kita untuk bersaing secara sihat dengan institusi perbankan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Katanya, sempena Hari Polis yang akan disambut pada bulan ini, CBP turut mengadakan promosi kepada anggota polis yang mendapatkan pembiayaan peribadi di CBP.

 

Sementara itu, salah seorang pemenang yang juga penjawat awam, Sharizawati, 42, ternyata tidak menjangkakan rezeki memihak kepadanya. 

 

 

coop

 

 

“Pada mulanya saya tidak percaya apabila dihubungi oleh pihak CBP dan diumum sebagai salah seorang pemenang kempen ini. 

 

“Alhamdulillah, rezeki memihak kepada saya yang buat julung kalinya menjadi pelanggan institusi kewangan ini pada tahun lalu menerusi pembiayaan peribadi-i,” katanya. - DagangNews.com