4 manfaat  kewujudan Internet Exchange kepada kepesatan ekonomi serantau | DagangNews Skip to main content

4 manfaat  kewujudan Internet Exchange kepada kepesatan ekonomi serantau

Ivo A. Ivanov, Ketua Pegawai Eksekutif DE-CIX Internasional

DALAM dunia perniagaan digital hari ini, keperluan saling hubungan meningkat seiring dengan perkembangan perkhidmatan digital dan berasaskan awan bagi proses-proses perniagaan.

 

Menurut satu kajian OECD, wabak COVID-19 telah merancakkan keperluan Internet yang stabil, pantas dan cekap untuk jutaan pekerja dan majikan yang telah memanfaatkan pilihan untuk bekerja dari rumah dan dijangka terus berbuat demikian pada masa hadapan.

 

Mereka bergantung kepada panggilan video, sambungan VPN yang stabil dan capaian yang pantas kepada bahan-bahan berkaitan kerja.

 

Setiap milisaat adalah penting apabila mengambil kira kepentingan aplikasi-aplikasi digital ini kepada perniagaan dan orang ramai.

 

Aspek pendaman, yang merujuk kepada sela masa yang diperlukan data bagi bergerak ke destinasinya untuk diproses dan sebaliknya, memainkan peranan yang amat penting dalam hal ini.

 

Pendaman yang tinggi menyebabkan gangguan kepada penggunaan aplikasi seperti gangguan kelancaran penstriman perisian sidang video.

 

Semua aplikasi digital yang digunakan di dalam pejabat, sektor pembuatan dan semua sektor lain hari ini sangat peka terhadap pendaman kerana ia perlu memberikan prestasi yang lancar pada setiap masa bagi memastikan pengalaman digital yang lebih memuaskan. 

 

Data perlu bergerak dengan cekap dalam jarak yang dekat bagi memastikan ketersambungan pada peringkat serantau adalah sebaik ketersambungan di hab-hab utama.

 

Justeru, peluasan saling hubungan setempat adalah perlu bagi memenuhi keperluan sambungan perniagaan dan pengguna di lokasi-lokasi peringkat serantau.


 

de-cix

 


Rantau-rantau yang terletak di luar hab-hab metropolitan utama perlu melabur dalam pembinaan infrastruktur digital tempatan, seperti meluaskan rangkaian jalur lebar berkelajuan tinggi dan mendirikan ibu-ibu sawat Internet yang dikenali sebagai Internet Exchanges.

 

Langkah ini akan memaksimumkan potensi kejayaan, mencapai matlamat ketersambungan pendaman rendah, dan yang paling mustahak, memberikan khidmat yang lebih baik kepada orang ramai. 

 

DE-CIX International mengenal pasti 4 manfaat yang diperoleh daripada kewujudan infrastruktur saling hubungan dalam bentuk Internet Exchange (IXs) peringkat serantau, yang menyumbang kepada perkembangan positif ekonomi digital serantau:

 

  1. Saling hubungan setempat memperkukuh ketersambungan dan prestasi aplikasi digital

 

Pada zaman digital ini, kebanyakan syarikat memerlukan saling hubungan berprestasi tinggi dan selamat untuk berurus niaga. Penubuhan sebuah Internet Exchange bukan sahaja akan menyokong matlamat ini, malah, ia turut menawarkan peluang pembangunan yang amat besar kepada bandar-bandar dan ekonomi bandar tersebut.

Kewujudan IX setempat mengurangkan pendaman antara syarikat-syarikat yang berhubung antara satu sama lain, meningkatkan kelajuan sambungan, mengukuhkan daya tahan, dan mewujudkan rangkaian yang lebih stabil bagi aplikasi-aplikasi seperti pengkomputeran awan, sambungan suara melalui protokol Internet (VoIP), sidang video dan kerjasama secara dalam talian.

Aplikasi yang akan menjadi wadah masa hadapan digital kita akan memerlukan pendaman yang amat rendah. Internet pelbagai benda (IoT) pintar dan aplikasi-aplikasi yang kritikal yang memerlukan tindak balas dalam masa sebenar, seperti pemanduan sendiri, memerlukan pendaman dalam julat 1-3 milisaat dan ia perlu dilakukan dalam jarak 50-80 kilometer dari pengguna.

Ini bermakna, keterhubungan antara pusat-pusat data yang memproses dan menyimpan data dengan tempat data ini digunakan memerlukan satu laluan yang paling singkat. Ia seterusnya akan membolehkan syarikat-syarikat dalam rantau tersebut untuk saling berhubung antara satu sama lain pada kadar pendaman yang terendah.

Selain daripada infrastruktur jalur lebar yang unggul, pusat-pusat data yang bertindak sebagai teras kepada rangkaian serantau adalah diperlukan bagi memaksimum dan mengukuhkan potensi pertumbuhan bidang ekonomi dan pertumbuhan bandar-bandar peringkat kedua dan ketiga yang terletak jauh dari hab-hab metropolitan utama.

Pusat-pusat data ini berupaya membekalkan capaian kepada taburan Internet Exchange atau platform yang saling berhubungan, yang menawarkan pelbagai khidmat saling hubungan kepada pembekal perkhidmatan Internet (ISP) dan jaringan-jaringan perniagaan. 


 

de-cix



 

  1. Peningkatan potensi pertumbuhan menerusi sambungan kepada awan dan kandungan 

 

Menurut satu kajian terkini oleh Google, Temasek dan Bain & Company’s dalam edisi terbaharu e-Conomy SEA Report 2021, banyak perniagaan dan syarikat-syarikat di rantau ini telah menerima pakai aplikasi digital untuk berurusan dengan pelanggan-pelanggan mereka dengan hampir 98% daripadanya kini menerima pembayaran digital dan 72% daripada menggunakan kemudahan pinjaman digital.

Arah aliran ini dijangka akan terus meningkat apabila 70% daripada perniagaan diunjurkan akan meningkatkan penggunaan aplikasi pemasaran digital dalam tempoh lima tahun akan datang.

Secara lebih terperinci lagi, perniagaan-perniagaan tempatan akan berupaya untuk menggiat dan mengembangkan potensi perniagaan mereka menerusi ketersambungan terus kepada awan, kandungan dan aplikasi-aplikasi perniagaan seperti Microsoft 365. Pekerja-pekerja mahir juga akan lebih cenderung untuk berhijrah ke bandar-bandar dengan ketersambungan yang baik.

Bagaimanakah perkara ini boleh dicapai? Sebuah IX serantau bukan sahaja memudah cara pertukaran data setempat tetapi juga membekalkan perkhidmatan saling hubungan yang selamat dan boleh dipercayai seperti sambungan terus kepada perkhidmatan awan berskala hiper global secara terus di lokasinya menerusi sebuah pusat data serantau.

Infrastruktur ini akan menyediakan sambungan kepada IX utama yang lebih besar di hab-hab antarabangsa yang menempatkan penggiat-penggiat global seperti AWS, Microsoft dan Google. Laluan kepada perkhidmatan awan dan sumber-sumber digital secara terus yang lebih pendek meningkatkan aspek keselamatan dan prestasi.

Situasi ini akan meningkatkan kualiti keseluruhan Internet, menjadikan rantau Asia Tenggara lebih menarik untuk mereka yang mahu beralih dari hab-hab utama, dan pada masa sama menarik pelaburan-pelaburan perniagaan baharu.


 

de-cix

 

 

  1. Bandar dan rantau dengan ekonomi digital yang lebih maju adalah lebih berdaya saing

 

Ekonomi digital telah menjadi tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi pada masa depan, dan tiada sektor boleh mengelak daripada gelombang digitalisasi. Situasi ini menjadikan pembangunan infrastruktur digital setempat amat penting bagi mengukuhkan ekonomi tempatan sekali gus mewujudkan kualiti hidup yang lebih baik untuk orang ramai.

Menurut satu kajian oleh Leibniz Centre for European Economic Research (ZEW), bandar-bandar dengan ekonomi digital yang lebih maju adalah lebih berdaya saing dan berkembang dengan lebih pesat berbanding bandar-bandar yang berteraskan analog. Kajian sama juga mendapati infrastruktur jalur lebar yang unggul bukan sahaja memberi manfaat kepada sesuatu rantau, tetapi ia turut mendatangkan manfaat kepada rantau-rantau yang kurang terhubung. 

Senada dengan sentimen ini pada peringkat serantau, penubuhan IX di Asia Tenggara bukan sahaja akan membawakan ketersambungan berkelajuan tinggi dengan pendaman rendah kepada kawasan-kawasan yang kurang mendapat liputan yang masih wujud, tetapi, ia juga membuka pintu kepada aliran data rentas sempadan yang akan membolehkan pengguna-pengguna dan perniagaan dalam rantau ini untuk memanfaatkan saling hubungan yang lancar dan boleh dipercayai.

Malah, kepentingan aspek saling hubungan di Malaysia akan terus diperkukuh dengan keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang sihat seperti dinyatakan dalam e-Conomy SEA Report 2021. Laporan tersebut menyebut bahawa semua sektor Internet di Malaysia melonjak teguh dengan pertumbuhan tahun atas tahun sebanyak dua angka dan nilai dagangan kasar (GMV) dijangka meningkat sebanyak 47% tahun demi tahun kepada AS$21 bilion.

Selain itu, nilai ekonomi Internet negara juga dijangka mencecah AS$35 bilion pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) 14%. Justeru, inilah sebabnya perniagaan-perniagaan dan bandar-bandar perlu mempunyai infrastruktur yang lebih baik bagi menyertai sebuah ekonomi digital yang berdaya saing dan membekalkan ketersambungan pendaman rendah kepada orang ramai, yang sebenarnya merupakan peranan utama sebuah Internet Exchange.

Kewujudan sebuah IX di sesuatu bandar akan mewujudkan ketersambungan yang lebih baik pada kos lebih rendah dan sekali gus akan membuka peluang-peluang lebih baik kepada perniagaan untuk berinteraksi dan mencipta perkhidmatan-perkhidmatan baharu, serta mewujudkan syarikat-syarikat permulaan baharu dalam ekonomi digital.

Dalam jangka masa panjang, situasi ini akan merancakkan industri perkhidmatan kandungan dan digital dalam ekonomi tempatan. Tanpa sebuah IX pada peringkat serantau, perniagaan-perniagaan terpaksa bergantung kepada ketersambungan Internet antarabangsa yang mahal untuk bertukar-tukar dan mengakses trafik global, kandungan yang dihoskan di seberang laut, dan trafik tempatan.


 

de-cix

 

 

  1. Internet Exchange serantau mewujudkan peluang perniagaan untuk pengendali rangkaian dan pusat-pusat data

 

Sebuah Internet Exchange serantau bukan sahaja memberikan satu kelebihan persaingan bagi sesuatu bandar, tetapi ia juga membuka peluang perniagaan yang besar kepada penggiat-penggiat infrastruktur yang terlibat. Oleh itu, ISP, pengendali pusat data serantau dan operator rangkaian setempat akan mendapat manfaat daripada penglibatan dalam penubuhan atau pengoperasian sebuah IX.

Jika mereka mengetahui selok-belok perkara ini dan boleh melakukannya sendiri, mereka boleh membangunkan perniagaan saling hubungan mereka menerusi kerjasama dengan pakar sedia ada, seperti DE-CIX untuk bertukar-tukar trafik secara terus merentasi platform saling hubungan.

Situasi ini akan membolehkan perniagaan-perniagaan utama untuk melakukan pertukaran data dan menstrimkan data ke destinasi masing-masing secara cekap dan berhemah, sekali gus mempertingkat prestasi penyedia kandungan dan perkhidmatan awan.

Selain itu, program DE-CIX sebagai satu bentuk perkhidmatan (DaaS) contohnya, menawarkan IX yang diuruskan secara profesional dan dibangunkan menurut dimensi yang dikehendaki oleh rakan-rakan kongsinya.

DE-CIX ini boleh dihantar ke depan pintu sebagai “DE-CIX in a Box”, berdasarkan teknologi Apollon yang telah memenangi anugerah dan menawarkan platform saling hubungan pelbagai perkhidmatan DE-CIX.

Sebuah Internet Exchange serantau menawarkan pelbagai perkhidmatan saling hubungan kepada pengendali pusat data dan rangkaian telekomunikasi – yang boleh dijual kepada pelanggan-pelanggan perniagaan setempat mereka.

IX ini juga akan menarik lebih banyak perniagaan ke rantau ini, yang berpotensi menjadi pelanggan kepada penyedia infrastruktur. Hasilnya, sebuah ekosistem teragih yang berfungsi dengan lancar bersama potensi ekonomi yang hebat sebagai sebahagian daripada landskap ekonomi digital tempatan.


 

de-cix

 


Kesimpulan

Pertambahan trafik data di Internet, aplikasi-aplikasi peka pendaman, dan peningkatan keperluan aspek-aspek keselamatan menuntut rangkaian serantau yang lebih kukuh serta sebuah Internet Exchange yang baharu. Kadar pendaman berupaya untuk direndahkan, dan pemindahan data dipercepatkan. Bidang-bidang ekonomi di luar wilayah metropolitan utama berpotensi menjana pertumbuhan dalam ekonomi setempat mereka dan membangunkan daya tarikan dan daya saing lokasi mereka. 

 

Satu contoh utama tentang manfaat-manfaat utama yang dibawakan oleh sebuah IX yang teguh ialah bandar Frankfurt, yang ibarat sebuah magnet kepada ekonomi digital. Bandar ini menjadi hab utama bukan sahaja untuk pameran-pameran perdagangan dan kewangan, tetapi juga menjadi hab utama kepada syarikat-syarikat teknologi terbesar dunia seperti Google, yang melabur di Frankfurt kerana lokasinya yang hampir dengan Internet Exchange terbesar dunia - DE-CIX Frankfurt. Jelas sekali, pembuat-pembuat keputusan pada peringkat bandar dan rantau perlu menyasarkan untuk mencapai matlamat yang sama pada skala lebih kecil dalam pasaran-pasaran sekunder.

 

Infrastruktur digital yang lebih kukuh dan ekonomi digital yang semakin berkembang juga akan menarik tenaga kerja berkemahiran ke sesebuah bandar atau rantau dan merancakkan pertumbuhan secara keseluruhan. Pembangunan infrastruktur tempatan menerusi sebuah IX perlu menjadi keutamaan teratas bagi penyedia infrastruktur tempatan, seperti pengendali pusat data dan rangkaian telekomunikasi tempatan, yang berpeluang mendapat manfaat daripada peluang perniagaan ini. Pelaburan dalam infrastruktur digital dan aspek saling hubungan bukan sahaja diperlukan untuk mengukuh dan memperkasakan ekonomi serantau, tetapi ia juga amat menguntungkan. - DagangNews.com

 

Ivo A. Ivanov adalah CEO DE-CIX Internasional dan COO DE-CIX Group AG