3Q20: Sektor pembinaan Malaysia naik 58.6% berbanding 2Q | DagangNews Skip to main content

3Q20: Sektor pembinaan Malaysia naik 58.6% berbanding 2Q

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Nilai kerja pembinaan pada suku ketiga 2020 (3Q20) meningkat 58.6% kepada RM31.4 bilion berbanding 2Q20, iaitu RM19.8 bilion.

Tiga negeri utama yang menyumbang sehingga RM19.8 bilion atau 63.2% kepada nilai pembinaan pada 3Q20 adalah Selangor, Wilayah Persekutuan dan Sarawak.

Bagaimanapun, bagi perbandingan tahun ke tahun, nilai kerja pembinaan mencatatkan penurunan -13.1% pada suku tahun berkenaan. 

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin berkata, subsektor pertukangan khas mencatatkan pertumbuhan 1.6%

 

Mohd. Uzir Mahidin
Uzir Mahidin

 

Tetapi, tiga subsektor lain iaitu bangunan kediaman, kejuruteraan awam dan bangunan bukan kediaman masing-masing menunjukkan pertumbuhan -12.0%, -13.6% dan -16.0% berbanding suku tahun yang sama pada 2019.

“Subsektor kejuruteraan awam kekal mendominasi sebagai penyumbang utama nilai kerja pembinaan dengan sumbangan 45.8%. Bangunan kediaman menyumbang 24.5%, bangunan bukan kediaman (24.0%) dan kktiviti pertukangan khas (5.7%).

“Sektor swasta terus memacu pertumbuhan aktiviti pembinaan dengan menyumbang 50.7% nilai kerja pembinaan (RM15.9 bilion) berbanding dengan sektor awam yang menyumbang 49.3% nilai kerja pembinaan (RM15.5 bilion),” kata beliau dalam siaran Statistik Pembinaan Suku Tahunan, Suku Ketiga 2020. - DagangNews.com