3 ahli gabungan bersama Perlis mahu tubuh persatuan baharu | DagangNews Skip to main content

3 ahli gabungan bersama Perlis mahu tubuh persatuan baharu

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Okt. - Tiga ahli gabungan yang diketepikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersama Perlis  mahu menubuhkan entiti baharu sepak takraw negara yang dinamakan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.

 

Tiga ahli gabungan itu termasuk Selangor, Sarawak dan Putrajaya bertindak sedemikian kerana kecewa dengan PSM yang didakwa gagal membaikpulih badan induk itu selepas disingkirkan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf). 

 

PSM juga dilihat mahu meminda perlembagaan yang sudah dipersetujui dan dimuktamadkan bersama-sama Pesuruhjaya Sukan (PJS) sebelum ini pada Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM) badan induk itu esok.

 

Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, pihaknya yakin bahawa entiti baru ini akan diterima sebagai ahli gabungan Astaf atas dasar barisan kepimpinan yang keseluruhannya berwajah baru dan tidak terpalit dengan isu yang mencemarkan imej dan maruah sepak takraw negara. 

 

"Kami juga akan menghantar satu salinan dokumen pendaftaran Jawatankuasa Penaja penubuhan Persekutuan Sepaktakraw Malaysia kepada pihak Astaf.

 

"Ia sebagai makluman membuktikan kesungguhan dan komitmen yang tinggi untuk membina semula keyakinan Astaf agar menerima kembali Malaysia sebagai ahli gabungan mereka dengan meletakkan tadbir urus yang berteraskan amanah dan intergriti dalam kepimpinan sukan sepak takraw di Malaysia," katanya.

 

Markiman berkata, pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan PJS yang berusaha menyelesaikan kemelut PSM sebelum ini.

 

"Kami amat kesal bila ada pihak dalam PSM yang tidak menghormati dan berterima kasih di atas segala usaha dan kesungguhan PJS menyelesaikan kemelut sebaliknya cuba bertindak menggagalkan usaha untuk mengembalikan maruah dan imej sepak takraw negara di mata dunia," katanya.

 

Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM pada 7 Oktober lalu sebulat suara mengetepikan ketiga-tiga ahli gabungan itu dan mereka hanya boleh menyertai PSM dengan mengemukakan permohonan semula selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu.

 

Perlis pula sudah digantung oleh PSM sebelum badan induk disingkirkan oleh Astaf.

 

PSM sebelum ini dikenakan hukuman penyingkiran daripada Astaf manakala bekas presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail dijatuhkan hukuman penggantungan selama 17 tahun sehingga 2038.-DagangNews.com