2,647 staf Malindo Air diberhentikan sejak 1 November - KSM | DagangNews Skip to main content

2,647 staf Malindo Air diberhentikan sejak 1 November - KSM

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Seramai 2,647 kakitangan Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) telah diberhentikan sejak 1 November baru-baru ini, Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengesahkan perkara tersebut hari ini. 

Dalam masa sama, seramai 439 kakitangan ditawarkan notis cuti tanpa gaji untuk tempoh setahun dengan harapan ekonomi kembali pulih dan mereka akan dipanggil bekerja semula. 

Seramai 347 lagi telah ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS), manakala baki 1,861 pekerja diberi notis pemberhentian kerja dengan pampasan minimum di bawah Akta Kerja 1955.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, selain daripada pampasan yang disediakan oleh majikan, kementeriannya juga akan memastikan semua kakitangan syarikat penerbangan tersebut menerima faedah kehilangan pekerjaan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP).

 

m saravanan
                            M. Saravanan

 

“Pada masa yang sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan membantu mereka dalam pencarian pekerjaan melalui portal MYFutureJobs.

“Kakitangan Malindo Air  juga layak untuk mengikuti program latihan (reskilling, upskilling) yang disediakan oleh Perkeso atau Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), di mana yuran latihan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan. 

“Para pekerja yang terlibat dengan pemberhentian kerja dinasihatkan supaya segera mengemukakan permohonan faedah SIP secara dalam talian melalui eis.perkeso.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat Perkeso yang berhampiran,” kata Saravanan dalam satu kenyataan hari ini. 

Semalam, KSM melalui jabatan dan agensi, Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Perkeso, telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Malindo Air bagi memastikan hak-hak pekerja yang terjejas dilindungi dan diberikan bantuan yang sewajarnya.

Dalam perbincangan yang diadakan semalam, Saravanan berkata, pihak pengurusan Malindo Air menyatakan bahawa mereka menerima bantuan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) untuk dua bulan iaitu bagi bulan April dan Mei 2020. 

Baca : Malindo Air nafi ‘sulap’ duit Perkeso

Jelas beliau, bayaran ERP untuk bulan April telah memberi manfaat kepada 2,112 pekerja Malindo Air yang melibatkan bayaran sebanyak RM1.26 juta. 

Sementara itu, bayaran ERP bagi bulan Mei pula telah disampaikan kepada 2,478 pekerja yang membabitkan bayaran RM1.48 juta. 

“Semua kakitangan syarikat tersebut yang menerima ERP tidak diberhentikan kerja pada bulan berkenaan. Pihak Malindo Air juga mengesahkan bahawa kesemua bayaran yang diterima, telah disalurkan kepada semua pekerja yang terlibat.

“Sektor penerbangan merupakan antara sektor yang paling terjejas sehingga kini disebabkan kekangan pergerakan penumpang dan juga pelancong dari dalam dan luar negara akibat penularan pandemik COVID-19. 

“Pemulihan sektor ini dijangka mengambil masa yang lama sehingga 2023 sehingga memaksa majikan dalam industri penerbangan mengambil keputusan untuk melepaskan pekerja bagi mengelakkan syarikat menanggung kerugian berterusan termasuklah Malindo Air,” tambah Saravanan. - DagangNews.com