Skip to main content

20 saranan Merrepak untuk anda dipecat cepat

merrepak12Julai

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

SEORANG pujangga British, Rod Stewart pernah berkata,
`some guys have all the luck,
some guys have all the pain,
some guys get all the breaks,
some guys did nothing but complain'.

Diterjemah bebas di sini berbunyi:
`ada orang sentiasa bernasib baik,
yang lain tanggung kesakitan,
ada orang dapat `lepas',
ada yang tiada kerja lain, asyik komplen (merungut).

Sebenarnya, Stewart bukan pujangga. Dia penyanyi rock terkenal di zaman 80-an. Saja nak bagi anda terkejut seketika. Bagi generasi milenium, anda boleh selidik muzik Rod Stewart di YouTube. Antara balada yang klasik dan malar segar (evergreen) ialah Sailing, Have I Told You Lately, Maggie Mae dan paling sedap, The First Cut Is The Deepest.
 

rod

Saya menyentuh lirik lagu `Some guys have all the luck' bila menganalisis semula perbualan dengan beberapa sahabat tentang `pekerjaan'. Topik ini jarang mengisi sesi teh tarik larut malam, berbanding kereta, bisnes, Liverpool, politik, politik dan politik. Jadi sesekali tertumpu pada soal di luar gagasan tersebut, mendorong proses mengingat, merenung semula butir-butiran perbincangan yang rasanya, boleh dikongsi bersama anda.

Menurut Firmino (hendak letak nama tempatan, takut disalah ertikan), dia telah berpindah kerja sebanyak empat kali dalam tempoh 10 tahun, dengan purata tiga tahun di satu syarikat. Oleh kerana ahli-ahli panel sesi teh tarik rata-rata berfahaman Simon Cowell, maka tiada timbul soalan seperti ``Adakah anda berhenti kerja kerana tawaran gaji lumayan?" atau ``Apakah anda cepat berasa bosan atau berdepan dengan masalah dengan bos?'.

Tidak. Soalan sedemikian adalah cliche, stereotype dan monopod. Monopod? Ye lah, peluang untuk Firmino menjawab sambil berlagak. Samalah makna `monopod', bukankah ambil selfie bertujuan untuk berlagak?

Sebaliknya, soalan pertama ditanya: bagaimana awak meletak jawatan? Bersemuka, bersurat atau WhatsApp sahaja? Menurut Firmino, ada sekali surat perletakan jawatannya ditolak oleh majikan. Tetapi hatinya sudah nekad.

Firmino berkata, dia bertegas. Ini soal prinsip, katanya. Ada insiden berlaku dalam unit dibawah seliannya. Tanpa menceritakan terperinci, Firmino mahu memikul tanggungjawab, lalu meletak jawatan. Tapi tidak diterima. Maka apa tindakannya? Firmino kata dia angkut balik barang peribadi dari biliknya dan tidak kembali lagi. Itu saja.

Firmino bernasib baik. Tidak sampai seminggu menganggur, dia diterima menyertai sebuah syarikat. Mungkin, aspek integriti pada Firmino telah diketahui majikan barunya.

Susulan daripada cerita Firmino ini dan cara dia meninggalkan jawatannya, Merrepak hari ini menurunkan 20 petua untuk memudahkan anda meletak jawatan atau dipecat.

1. Tunjukkan minat mendalam terhadap Kim Kardashian. Ambil selfie dari arah belakang badan anda seperti gaya Kim dengan berlatar belakang logo syarikat tertera jelas. Siar di Instagram, Twitter, Facebook.

kim

2. Ubah setting mesin photocopy kepada saiz 200 peratus. Setiap hari.

3. Makan semua makanan dalam peti sejuk yang dibawa rakan-rakan sepejabat, kemudian tidak mengaku.

4. Bawa balik sudu, garpu dan pinggan mangkuk yang disediakan di pantry, kemudian bercerita kepada rakan sepejabat tentang sudu, garpu dan pinggan mangkuk yang anda ambil itu.

5. Cabut sambungan telefon di meja bos. Bila CEO telefon, bos kelihatan seperti tiada di pejabat.

6. Tiba awal di pejabat, kemudian sorokkan kerusi rakan-rakan. Tinggalkan kerusi anda seorang.

7. Tinggalkan kesan `kunjungan' anda ke laman web pornografi untuk dikesan oleh Ketua Pegawai Teknologi dan Pegawai Undang-Undang syarikat.

8. Selepas menggunakan tandas, tidak pam air. Biar terapung.

9. Pasang lagu K-Pop kegemaran anda pada tahap bunyi yang boleh didengar sehingga ke pondok pengawal pejabat.

10. Amalkan bercakap dalam nada kuat, terutama semasa berada dalam pejabat bos. Ini supaya orang sekeliling tahu pendirian anda semasa dipanggil mengadap bos.

11. Tukar pendirian mengikut keperluan. Bersama rakan sepejabat kata Ya. Depan Pengurus HR kata mungkin. Depan Bos kata tidak. Kemudian ceritakan secara bertulis dalam e-mel ke seluruh syarikat.

12. Memuat turun virus ke dalam komputer, sekali gus menyebar virus ke seluruh sistem.

13. Bila ada tetamu/ pelanggan datang, ceritalah perkara-perkara buruk tentang syarikat. Pastikan mereka tidak jadi membeli produk keluaran syarikat.

14. Meletak kereta secara sengaja di petak dikhaskan untuk bos anda. Setiap hari.

15. Memberi nama manja kepada bos seperti `Boroi' atau `Janggut Telebang' semasa bercakap dengan setiausahanya.

16. Hantar e-mel ke seluruh warga syarikat dengan borang kaji selidik yang anda cipta sendiri untuk mereka jawap sama ada berkaitan rupa wajah, kebodohan atau gaji mereka.

17. Hantar e-mel berbaur gangguan seksual kepada rakan sepejabat, lebih baik kaum sejenis dengan ayat seperti `Awak suka saya tak? Kalau suka, tekan butang REPLY. Kalau tidak, ketahuilah saya pun tidak suka awak!

18. Tampal poster yang tertera ayat `Saya sokong perkahwinan sejenis' .

19. Melancarkan kempen mendesak CEO dipecat dengan alasan hilang kepercayaan dan berpiket di hadapan pintu pejabatnya.

20. Letak gam gajah pada tetikus komputer bos anda.

DISCLAIMER: Seandainya tidak satu pun petua di atas berjaya menyebabkan anda dipecat, tolonglah fokus kepada kerja dan berhentilah kerja main-main. Zaman COVID-19 ini bukan senang hendak cari kerja kosong. Jadilah pekerja berfikiran positif. Hati pun tenang, takkan kena angin ahmar. - DagangNews.com

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaannya seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mengambil nikotin pada kadar berganda. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.