10 lokaliti di Sabah dikenal pasti terlibat dalam fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia - PM | DagangNews Skip to main content

10 lokaliti di Sabah dikenal pasti terlibat dalam fasa pertama Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KOTA KINABALU 20 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 10 lokaliti di Sabah dikenal pasti bagi fasa pertama pelaksanaan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

 

Ismail Sabri berkata, kawasan terlibat yang dikenal pasti, termasuk Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau. 

 

Beliau berkata, Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara BMTKM.

 

Jelasnya, di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan juga menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025. 

 

"Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak, termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai.

 

"Sebelum ini, program membasmi kemiskinan dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi yang terbabit. Namun di bawah program BMTKM, EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti kementerian, kerajaan Negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

Yang turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

 

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan sebanyak 113 sekolah daif di Sabah akan dinaik taraf menerusi peruntukan sebanyak RM1.02 bilion.

 

Jelasnya, kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

 

"Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion," katanya.

 

Tambahnya, kerajaan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol bakal mampu mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun.

 

"Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri-negeri lain," katanya. - DagangNews.com