KUALA LUMPUR 11 April — Penganalisis berpandangan positif terhadap prospek Aeon Credit Service (M) Berhad, setelah mencatatkan keputusan melebihi jangkaan dan memenuhi semua sasaran utama ditetapkan bagi tahun kewangan 2025 (FY25).
Antaranya Kenanga Research yang melihat di sebalik ketidaktentuan ekonomi berterusan, syarikat itu boleh mencapai kadar tinggi pertumbuhan pembiayaan industri dan memanfaatkan pelaburan dalam ekosistem, dengan sokongan Aeon Bank (M) Berhad.
Aeon Credit menutup FY25 dengan mencapai semua sasarannya, termasuk pertumbuhan pinjaman sebanyak 15.4 peratus, melebihi sasaran asal hanya 10 peratus, dan pulangan atas ekuiti (ROE) kepada 13.6 peratus daripada sasaran diunjurkan 13 peratus.
Firma penyelidikan itu menekankan, kumpulan tersebut menjangkakan pencapaiannya boleh berkembang lagi pada FY26, tetapi menetapkan sasaran yang lebih rendah untuk ROE dengan menyasarkan sekitar 12 peratus sahaja.
“Kami berpendapat ini mungkin disebabkan oleh kerugian syarikat bersekutu yang lebih berat kerana akhirnya Aeon Bank perlu menjana pendapatan boleh menanggung sebahagian besar kos keseluruhan," katanya dalam satu nota kajian.
Sasaran kumpulan tersebut kata Kenanga Research, untuk meningkatkan kadar pinjamannya sebanyak 10 peratus bagaimanapun masih lagi kekal melebihi sasaran industri yang diunjurkan oleh firma berkenaan sekitar cuma enam peratus.
Ia turut percaya bahawa kumpulan berkenaan harus terus mencapai paras pertumbuhan buku pinjaman di atas industri dengan terus memanfaatkan lagi ekosistem 'Aeon Living Zone' untuk dapat meningkatkan peluang dalam jualan silang.
Peralihan ke arah campuran yang lebih tinggi daripada 40 peratus pelanggan berpendapatan sederhana mungkin perlu kerana 40 peratus terbawah mungkin sensitif harga di sebalik ketidaktentuan dasar perdagangan global berterusan.
Kenanga Research turut menaikkan unjuran pendapatan Aeon Credit pada FY26 sebanyak enam peratus, didorong oleh andaian pendapatan bukan faedah yang diramalkan lebih tinggi seperti pendapatan pemulihan dan yuran perkhidmatan.
“Andaian kos kredit bersih kami sebanyak 4.18 peratus untuk FY26 adalah lebih tinggi daripada FY25 iaitu 3.87 peratus, menjangkakan penambahan lanjut dalam peruntukan di tengah-tengah ketidaktentuan makroekonomi,” katanya.
Ia mengekalkan saranan "melebihi prestasi" ke atas prospek syarikat itu dengan harga sasaran (TP) sebanyak RM7 sesaham berdasarkan risiko pertumbuhan belum terima yang lebih rendah daripada jangkaan dan kerugian kemerosotan nilai.
Sementara itu, CIMB Securities berkata, keuntungan bersih Aeon Credit pada FY25 sebanyak RM370.6 juta melebihi jangkaan dan mencecah 111.4 peratus daripada ramalannya sendiri serta 104.5 peratus berbanding ramalan setahun penuh konsensus.
"Kami mengurangkan unjuran pendapatan FY26 kepada FY27 daripada 11 peratus kepada 12 peratus selepas meningkatkan andaian untuk kos kredit dan merendahkan andaian pertumbuhan belum terima," kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Unjuran berkenaan tambahnya, untuk mencerminkan ketidaktentuan mengenai turun naik tarif luar namun CIMB Securities mengekalkan saranan "pegang" terhadap Aeon Credit dengan TP yang lebih rendah sebanyak RM5.90 sesaham. - DagangNews.com








