Vipin Chandran dilantik sebagai Pengarah Urusan SAP Malaysia | DagangNews Skip to main content

Vipin Chandran dilantik sebagai Pengarah Urusan SAP Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - SAP SE mengumumkan pelantikan Vipin Chandran sebagai Pengarah Urusan SAP Malaysia.

 

Beliau merupakan seorang pemimpin perniagaan yang memiliki pengalaman lebih 25 tahun selain memiliki rekod prestasi cemerlang dalam menyampaikan transformasi awan kepada pelanggan. 

 

Menerusi peranan baharunya, Vipin akan memberi fokus kepada pengukuhan keupayaan transformasi digital organisasi di Malaysia selain mempercepatkan pertumbuhan dalam ekonomi berteraskan kecerdasan buatan (AI).

 

Beliau juga akan membantu perniagaan membina rantaian bekalan yang berdaya tahan serta mencipta masa depan yang lebih mampan.

 

Vipin berkata, ekonomi digital Malaysia terus menjadi antara sektor yang paling kukuh dan paling pesat berkembang, menyumbang lebih daripada 23% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

 

"Belanjawan terbaharu negara menandakan komitmen kerajaan meneruskan transformasinya menjadi kuasa digital serantau.

 

"Saya teruja untuk menerajui SAP Malaysia dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan sektor awam serta swasta bagi mengemudi landskap dinamik ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Sebelum dilantik ke jawatan itu, beliau merupakan ketua pegawai rakan kongsi di SAP Asia Tenggara, di mana beliau bertanggungjawab memperkasakan kejayaan lebih 500 organisasi rakan kongsi selain pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan jualan, perkhidmatan dan rakan kongsi merentas pelbagai wilayah.

 

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan SAP SEA, Verena Siow mengalu-alukan kehadiran Vipin selaku pemimpin baharu SAP Malaysia.

 

"Beliau akan menjadi tenaga penggerak bagi pelanggan dan rakan kongsi kami bagi memanfaatkan kuasa transformatif awan dan AI Perniagaan selain memajukan perniagaan ke arah masa depan yang mampan,” katanya. - DagangNews.com