UOB Malaysia catat jumlah pendapatan operasi tertinggi sebanyak RM4.6 bilion pada FY23 | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia catat jumlah pendapatan operasi tertinggi sebanyak RM4.6 bilion pada FY23

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - United Overseas Bank (M) Bhd (UOB Malaysia) merekodkan jumlah pendapatan operasi tertinggi sebanyak RM4.6 bilion dan untung bersih sebelum cukai sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2023 (FY23).

 

Bank itu dalam satu kenyataan berkata, pendapatan operasinya meningkat sebanyak 19.3% melebihi paras RM4 bilion manakala keuntungannya melonjak 44.4%. 

 

Katanya, peningkatan pendapatan operasi itu adalah didorong oleh pertumbuhan dalam pendapatan faedah bersih sebanyak 7.4% kepada RM2.9 bilion dan sumbangan pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan perbankan Islam, yang meningkat 14.8% kepada RM169.6 juta.

 

Pendapatan operasi lain juga meningkat sebanyak 50% kepada RM1.6 bilion, didorong oleh keuntungan dan yuran pertukaran asing bersih yang lebih tinggi, dan pendapatan komisen.

 

Pendapatan operasi UOB Malaysia untuk perbankan borong melonjak 18.5% kepada RM2.1 bilion manakala pendapatan perbankan uncit meningkat 46.1% kepada RM1.9 bilion disebabkan peningkatan hasil faedah bersih serta pendapatan fi dan komisen.

 

wei
Ng Wei Wei

 

Bank itu juga menyediakan pembiayaan hijau berjumlah RM6.2 bilion sehingga kini dengan UOB Malaysia menawarkan rangka kerja dan rumusan pembiayaan kemampanan yang paling komprehensif di pasaran dan disahkan oleh pendapat pihak kedua antarabangsa yang berwibawa.

 

Pada 2023, pinjaman kasar, pendahuluan dan pembiayaan UOB Malaysia meningkat sebanyak 1.4% kepada RM107.1 bilion, dengan pertumbuhan kukuh 11% dalam pembiayaan perdagangan. Sementara itu, deposit bukan bank meningkat 4.6% kepada RM116 bilion.

 

Kedudukan modal Bank kekal kukuh dengan Ekuiti Biasa Tahap 1 sebanyak 15.9% dan nisbah kecukupan modal sebanyak 18.9%, jauh melebihi keperluan kawal selia, justeru menyediakan penampan yang mencukupi untuk menyokong pertumbuhan masa hadapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, berpandukan pelan strategi tiga tahun, bank itu akan terus memanfaatkan kedudukan dan kepakaran meluas dalam membantu perniagaan membuka laluan baharu pertumbuhan di seluruh rantau melalui perdagangan dan pelaburan rentas sempadan. 

 

Beliau berkata, memandangkan bahawa kemampanan memainkan peranan penting dalam perniagaan, kami komited membantu syarikat tempatan, terutamanya Perusahaan KEcil dan Sederhana (PKS), beralih kepada amalan hijau di samping meningkatkan daya saing mereka dalam rantaian nilai global.

 

“Pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup mengukuhkan lagi francais runcit UOB Malaysia selain membuka peluang baharu dalam penawaran produk dan kerjasama global yang lebih baik. 

 

"Berikutan kejayaan pengambilalihan pada Julai 2023, bank akan terus memanfaatkan nilai daripada sinergi kedua-dua bank untuk memacu pertumbuhan,” katanya. - DagangNews.com