KUALA LUMPUR 24 April - Rangkaian kopi tempatan Zus Coffee yang dimiliki oleh Zuspresso Sdn Bhd, merancang untuk membuka hampir 200 cawangan baharu di Asia Tenggara tahun ini, selepas berjaya menyaingi Starbucks sebagai jenama kopi terbesar di Malaysia dalam tempoh lima tahun sejak penubuhannya.
Menurut Ketua Pegawai Operasinya, Venon Tian, syarikat itu akan membuka sekurang-kurangnya 107 cawangan baharu di Malaysia, sekitar 80 di Filipina dan enam lagi di Singapura.
Selain itu, Zus Coffee juga akan memulakan operasi di Thailand dan Indonesia tahun ini.
Sejak awal 2024, Zus Coffee mengatasi Starbucks sebagai rangkaian kopi terbesar di Malaysia dengan 743 cawangan, manakala Starbucks hanya memiliki 320 cawangan.
Pencapaian tersebut berlaku selepas berlaku boikot terhadap Starbucks berikutan dakwaan hubungan jenama berkenaan dengan Israel semasa konflik Gaza, yang menyebabkan penurunan pendapatan pengendali Starbucks Malaysia, Berjaya Food Bhd.
Zus Coffee kini mengendalikan sekitar 120 cawangan di Filipina, yang disokong oleh pelaburan daripada jutawan Filipina, Frank Lao dan empat lokasi di Singapura.
Rangkaian kopi itu juga beroperasi di Brunei melalui model francais.
Tian berkata, kejayaan Zus Coffee terletak pada perisa yang disesuaikan mengikut pasaran tempatan, seperti minuman berperisa gula melaka di Malaysia dan kopi berperisa ubi ungu di Filipina.
"Pertumbuhan pesat Zus Coffee dapat dilihat apabila pendapatan bersih meningkat tiga kali ganda kepada RM37 juta pada tahun 2024.
"Lonjakan keuntungan ini berlaku di tengah minat pelabur yang kuat terhadap sektor pengguna di Malaysia," katanya seperti laporan Bloomberg.
Zus Coffee bermula sebagai kiosk yang menawarkan perkhidmatan penghantaran kopi dengan aplikasi mudah alih sendiri pada akhir 2019 dan berkembang pesat semasa pandemik, apabila sekatan pergerakan memaksa orang ramai beralih kepada penghantaran dalam talian untuk keperluan harian mereka.
"Covid-19 secara tidak langsung membantu pertumbuhan perniagaan kami," kata Tian.
Kira-kira 70% jualan Zus Coffee dibuat menerusi dalam talian, melalui penghantaran dan pengambilan di rangkaian kedainya.
Model perniagaan berasaskan teknologi dan pengurusan kos yang cekap membolehkan Zus Coffee menjual kopi 20% lebih murah berbanding Starbucks, sekali gus menjadikannya pilihan penggemar kopi di Malaysia.
"Anda ada kedai serbaneka yang menjual kopi pada RM5 dan ke bawah. Kemudian anda ada kopi premium yang dijual pada RM11 dan ke atas.
"Zus Coffee berada di antara titik harga itu. Kami menawarkan kopi berkualiti yang boleh dibeli oleh kebanyakan orang," kata Tian.
Dengan pelaburan RM250 juta daripada konsortium yang terdiri daripada KV Asia Capital, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kapal Api Group, Zus Coffee kini bersedia untuk memperluas kehadirannya di pasaran antarabangsa.
Pelaburan berkenaan dijangka menjadi batu loncatan untuk pertumbuhan syarikat, dengan fokus untuk menjadi jenama antarabangsa yang dominan.
Syarikat juga sedang dalam perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi untuk melancarkan pasaran antarabangsa lain pada tahun 2025.
Dengan strategi harga yang berpatutan, fokus kepada teknologi dan penyesuaian produk mengikut citarasa tempatan, Zus Coffee terus berkembang pesat, berpotensi menjadi pemain utama dalam industri kopi serantau. - DagangNews.com








