Zon Pilihan Malaysia, produk selebriti tarikan cawangan terbaharu ST Rosyam Maert di Jakel Square, KL | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Zon Pilihan Malaysia, produk selebriti tarikan cawangan terbaharu ST Rosyam Maert di Jakel Square, KL

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 4 DisSri Ternak Group bakal membuka cawangan baharu ST Rosyam Mart kesembilan pada 17 Disember 2025 di Jakel Square, Kuala Lumpur, melibatkan keluasan operasi melebihi 40,000 kaki persegi serta menawarkan lebih 40,000 produk dalam konsep pasar raya borong halal 24 jam.

 

Kumpulan itu berkata, pembukaan cawangan ini merupakan yang kedua di Kuala Lumpur dan yang pertama memperkenalkan zon khas ‘Pilihan Malaysia’ bagi menampilkan produk buatan tempatan termasuk makanan ringan, minuman dan cenderamata untuk pasaran pengguna tempatan serta pelancong.

 

Outlet ini turut menampilkan sudut selebriti yang memasarkan produk selebriti antaranya Datuk Chef Wan, Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Khatijah Ibrahim, Ako Mustapha, Azza Elite, Betty Rahmad, Fizo Omar, Fouziah Gous, Ab Manan, Munif Hijjaz, Nubhan, Nazia Mustafar, Khai Bahar dan Datuk Rosyam Nor.

 

Menurut Sri Ternak, outlet di Jakel Square ini direka dalam susun atur moden dengan siling tinggi, laluan beli-belah luas, zon runcit tersusun, kawasan barangan pukal, serta kaunter layan diri (SCO) dan kaunter juruwang yang mencukupi bagi mengendalikan aliran pelanggan dalam skala besar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Sri Ternak Group, Datuk Raymond Ho Cheng Hann berkata outlet baharu ini akan membolehkan kumpulan itu memberi perkhidmatan kepada penduduk tempatan dan pelancong yang mahukan destinasi beli-belah tempatan pada harga mampu milik sepanjang masa.

 

“Syarikat mahu membantu orang ramai dan peniaga menjimatkan kos serta masa. Pembukaan di Jakel Square membolehkan pengguna menikmati barangan keperluan harian pada harga borong dalam persekitaran selesa dan 24 jam,” katanya.

 

Majlis pembukaan rasmi pada 17 Disember 2025 jam 8:00 malam turut menyaksikan pelancaran kempen ‘Selamatkan Dompet Warga KL’ yang memberi fokus kepada penjimatan pengguna bandar.

 

Antara tawaran utama:
•    Yuran keahlian ST Member RM15
•    Ayam seekor pada harga RM0.88
•    Lebih 220 barangan runcit serendah RM0.08
•    Lebih 45 barangan pukal pada harga borong
•    Promosi berlangsung dari 17 Disember hingga 31 Disember 2025

 

Pengarah ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor berkata pembukaan cawangan ini bertujuan membantu rakyat mengurus perbelanjaan harian dengan lebih baik.

 

“Kos sara hidup di Kuala Lumpur adalah tinggi dan syarikat mahu keperluan asas lebih mudah diakses. ‘Berbelanja di ST Rosyam Mart, Dompet Abang Selamat’ adalah janji kepada rakyat,” katanya.

 

Menurut Sri Ternak, peniaga kecil, pemilik restoran dan katerer boleh membeli barangan dalam kuantiti besar di Bulk Grocery Section melibatkan hasil segar, daging tempatan dan import termasuk lamb penuh dan Wagyu, serta makanan laut segar dan beku seperti King Crab, salmon diterbangkan khas dan potongan tuna.

 

Kedai ini turut menyediakan lebih 20 perkhidmatan percuma termasuk:
•    Power bank percuma
•    Air minuman
•    Khidmat memotong daging
•    Pinjaman payung
•    Bantuan ‘jump-start’ bateri kereta
•    Pam angin tayar

 

Sebagai sebahagian kempen pembukaan, Sri Ternak turut melancarkan pertandingan kandungan digital ‘Misi Mencari Raja Konten’ dengan hadiah tunai sehingga RM20,000. 

 

Penyertaan dibuka sehingga 20 Disember 2025 bagi kandungan video berdurasi sekurang-kurangnya satu minit yang dimuat naik ke TikTok, Instagram atau Facebook. - DagangNews.com