KUALA LUMPUR 22 Dis – Zeekr Intelligent Technology Malaysia mencatat pencapaian penting apabila berjaya merekodkan 2,000 unit penghantaran kenderaan jenama Zeekr dalam tempoh setahun sejak pelancaran rasminya pada Disember 2024.
Pengurus Besarnya Eddy Lu berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan pengguna Malaysia terhadap jenama berkenaan serta komitmen syarikat dalam menawarkan pengalaman pemilikan kenderaan yang menyeluruh dan premium.
“Mencapai 2,000 pemilik dalam tempoh setahun bukan satu pencapaian kecil bagi Zeekr. Ia mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap jenama syarikat serta janji untuk menawarkan bukan sekadar kenderaan, tetapi pengalaman pemilikan yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Zeekr akan terus meningkatkan standard dalam perkhidmatan jualan dan selepas jualan bagi memastikan setiap perjalanan bersama Zeekr sinonim dengan kemewahan serta ketenangan fikiran.
Menurut kenyataan itu, pencapaian berkenaan diraikan menerusi satu acara eksklusif di Sentul Depot sempena penyerahan kenderaan ke-2,000, yang menghimpunkan kira-kira 50 pemilik bersama ahli keluarga mereka.

Pada acara berkenaan, sebanyak 50 unit Zeekr 7X diserahkan dalam satu hari sebagai simbol pertumbuhan pesat jenama itu di Malaysia.
“Baru-baru ini kita meraikan lebih daripada sekadar angka, kita meraikan hubungan. Kepada setiap pemilik yang telah meletakkan kepercayaan kepada Zeekr, terima kasih kerana mempercayai visi kami untuk mentakrifkan semula pemilikan EV premium,” menurut Eddy.

Dalam usaha memastikan pengalaman pemilikan yang lancar, Zeekr Malaysia turut merancang peluasan rangkaian pengedarnya secara strategik di seluruh negara.
Bermula Januari 2026, Zeekr akan membuka cawangan baharu di Johor Bahru, Melaka, Ampang dan Ipoh.
Menjelang akhir 2026, rangkaian Zeekr dijangka merangkumi 18 bilik pameran di seluruh negara, termasuk lebih 10 pusat servis serta Body & Paint Centre bagi memastikan sokongan selepas jualan yang komprehensif kepada pelanggan.
Zeekr Malaysia ketika ini menawarkan tiga model utama iaitu Zeekr X, Zeekr 7X dan Zeekr 009, yang mewakili gabungan inovasi, prestasi dan reka bentuk mewah. Zeekr 009 sebelum ini turut dinobatkan sebagai MPV EV Premium Terbaik pada Carlist.my Anugerah Pilihan Ramai 2025.
Sempena musim perayaan, Zeekr Malaysia turut menawarkan promosi “A Christmas Crafted in Luxury”, di mana pelanggan yang mendaftar mana-mana model Zeekr sebelum 31 Disember 2025 berpeluang menerima barangan eksklusif TRAPO bernilai sehingga RM1,000. - DagangNews.com







