IPOH 16 April - Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan & Persediaan Bencana) NADMA di Jabatan Perdana Menteri, Zamakhshari Hanipah dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh yang baharu.
Pelantikan beliau berkuat kuasa hari ini.
Watikah pelantikan tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di sini pagi tadi.
Antara jawatan tertinggi lain pernah digalas ialah sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu dan Selangor.
Beliau juga pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah Hulu Perak, Gerik merangkap Yang DiPertua Majlis Daerah Gerik serta Penolong Pengarah MKN Negeri Perak.
Sementara itu Saarani dalam kenyataannya memberitahu, pengalaman luas Zamakhshari dalam pentadbiran kerajaan dapat diguna memacu kemajuan bandaraya Ipoh.
“Pengalamannya yang luas dalam sektor pentadbiran kerajaan memberikan kelebihan besar dalam menerajui Majlis Bandaraya Ipoh ke arah tadbir urus yang lebih cekap dan berkesan.
“Saya yakin dengan kepimpinan beliau, aspirasi menjadikan Ipoh sebagai bandar pintar dan mampan akan dapat direalisasikan dengan lebih menyeluruh.
“Selamat menjalankan amanah Encik Zamakhshari, semoga terus cemerlang dalam menyampaikan perkhidmatan untuk warga Ipoh,” ujarnya.
Sebelum ini, Dato' Rumaizi Baharin menamatkan tugas sebagai Datuk Bandar Ipoh setelah kontrak perkhidmatan beliau berakhir.
Rumaizi yang menyandang jawatan tersebut sejak 1 April 2020 merupakan bekas Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri Perak.
Di bawah pentadbirannya Ipoh dibangunkan untuk menjadi sebuah bandar raya pintar, berdaya huni, berdaya tahan dan lestari menjelang 2030. - DagangNews.com








