KUALA LUMPUR 17 Julai - YSP Southeast Asia Holding Bhd (YSP SAH, pengeluar farmaseutikal terkemuka negara kini giat memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Ketua Pejabat Strategi Pembangunan Perniagaan, E-dagang dan Penjagaan Kesihatan Pengguna di YSP Industries (M) Sdn Bhd, Rashica Lim Yin berkata, syarikat menggabungkan strategi perniagaan dalam talian dan luar talian untuk terus meneroka pasaran dalam sektor farmaseutikal yang semakin kompetitif.
Tambahnya, kumpulan itu komited terhadap pertumbuhan berterusan, disokong oleh barisan produk baharu yang diyakini dapat memenuhi permintaan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan.
“Ia adalah segmen perniagaan yang berpotensi, tetapi juga sangat kompetitif membuatkan kami tidak boleh bergantung pada kejayaan lalu.
“Kami mesti terus berinovasi dan membangunkan produk yang menyokong kesihatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, syarikat tersebut melancarkan produk Baharu, siri kecantikan dan kesejahteraan botani di bawah jenama GREENS, sempena acara Greenstopia di Kuala Lumpur.
YSP SAH merupakan antara lima pengeluar farmaseutikal terbesar di Malaysia.
Operasinya merangkumi R&D, pembuatan, penyimpanan dan logistik, serta perdagangan produk farmaseutikal yang meliputi ubat preskripsi, rawatan tanpa preskripsi (OTC), produk penjagaan kesihatan pengguna, termasuk ubat tradisional dan pelengkap.
Sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan, syarikat ini kini lebih memberi tumpuan kepada pasaran eksport, khususnya di rantau ASEAN yang menyaksikan peningkatan permintaan terhadap produk penjagaan kesihatan berkualiti dan mampu milik, seiring dengan peningkatan perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta di rantau tersebut.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi syarikat masih berjalan seperti biasa, disokong oleh permintaan stabil terhadap ubat mampu milik dan inovasi produk yang berterusan meskipun berdepan cabaran ketidaktentuan ekonomi global ketika ini.
“YSP SAH terus menyalurkan pelaburan besar dalam R&D bagi memastikan kelangsungan barisan produknya.
“Pelancaran produk terbaharu kami adalah bukti komitmen tersebut,” katanya.
Jelasnya, pembangunan produk itu mengambil masa tiga tahun, dengan bahan mentah utama diperoleh dari Jepun dan Korea Selatan.
“Kami sangat optimis terhadap potensi produk ini yang dipasarkan secara eksklusif dalam e-dagang. Produk ini dibangunkan menggunakan ramuan yang dipatenkan dan terbukti secara klinikal.
“Kami turut menjalankan kajian pasaran menyeluruh untuk mengesahkan permintaan dan prospek pertumbuhan,” katanya.
Greenstopia, yang kini memasuki edisi ketiga, menggabungkan inisiatif kitar semula komuniti dengan pendidikan kesihatan dan aktiviti kesejahteraan.
Setiap edisi Greenstopia menggalakkan pengunjung menukar bahan kitar semula seperti plastik, aluminium, kertas, e-waste dan pakaian kepada hasil segar dan minuman, sekali gus memupuk kesedaran alam sekitar dan semangat komuniti, sejajar dengan visi penjenamaan GREENS untuk menghasilkan produk mesra alam yang hampir kepada alam semula jadi dan bersumberkan kelestarian.
Dengan strategi jelas untuk mengembangkan pasaran domestik dan eksport serta dorongan baharu dalam inovasi kesihatan dan kesejahteraan, YSP SAH kini berada di landasan tepat untuk merebut peluang dalam landskap penjagaan kesihatan yang terus berkembang, sambil mengukuhkan kedudukan sebagai antara pemain farmaseutikal utama negara.- DagangNews.com








