KUALA LUMPUR 9 April - Yong Tai Berhad (YTB) yang disenaraikan di Pasaran Utama semalam, membentuk usahasama (JV) dengan Taghill Holdings Bhd untuk membangunkan dua blok pangsapuri perkhidmatan di Melaka.
Kerjasama itu dilaksanakan antara anak syarikat milik penuhnya, YTB Impression Sdn Bhd (YTBI) dan Taghill Land Sdn Bhd (Taghill Land), yang juga anak syarikat milik penuh Taghill Holdings Berhad.
Ia memberi hak eksklusif kepada Taghill Land untuk membangunkan dua blok suite pangsapuri perkhidmatan yang dikenali sebagai The Dawn @ Impression City Melaka, yang terletak di pusat bandar Melaka.
Menurut terma perjanjian usahasama berkenaan, Taghill Land akan bertanggungjawab sepenuhnya bagi perancangan, pelaksanaan, pengurusan dan pemasaran projek The Dawn, yang terdiri daripada 648 unit suite pangsapuri perkhidmatan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan sebanyak RM183.31 juta.
Yong Tai pula akan menerima RM28 juta segera, sekali gus meningkatkan kedudukan aliran tunai syarikat tanpa menanggung risiko modal tambahan.
Kerja-kerja tapak di The Dawn @ Impression City Melaka, yang terletak dalam pembangunan bersepadu utama Yong Tai di Melaka, telah pun siap termasuk struktur podium tempat letak kereta lima tingkat, menyediakan platform bagi Taghill Land untuk mempercepat pembinaan.
Projek dijangka bermula pada suku ketiga 2025 dan siap pada suku keempat 2027.
Selain daripada aliran tunai segera, usaha sama itu juga memberi potensi keuntungan yang menarik untuk Yong Tai.
Sekiranya keuntungan sebelum cukai (PBT) projek melebihi RM11 juta setelah ditolak hak Yong Tai, syarikat akan memperoleh 40% daripada keuntungan tambahan tersebut.
Mengulas mengenai kerjasama strategik itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Yong Tai Berhad, Datuk Boo Kuang Loon berkata, usahasama dengan Taghill Land merupakan langkah penting dalam memperkukuh kekuatan kewangan Yong Tai dan mengurangkan pendedahan risiko pembinaan syarikat.
"Kepakaran Taghill Land dalam pembinaan hartanah memastikan The Dawn akan siap dengan cepat, membolehkan kami memanfaatkan pelaburan terdahulu dengan lebih berkesan sambil meletakkan Yong Tai untuk pertumbuhan jangka panjang yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.
Kumpulan Taghill pernah berkerjasama dengan Yong Tai termasuk dalam projek The Apple dan Hotel Courtyard by Marriott Melaka.
Langkah strategik itu membolehkan Yong Tai menumpukan perhatian dan mengagihkan sumber kepada projek utama syarikat, termasuk pembangunan Impression U-Thant di Kuala Lumpur dan teater Encore Melaka, yang terus menunjukkan permintaan yang kuat selepas pandemik Covid-19.
Pemulihan pelancongan di Melaka, yang diperkukuh dengan inisiatif hubungan lebih baik seperti penerbangan baharu Scoot Airline dan pelayaran Genting Dream Cruise dari Singapura, terus menyokong permintaan yang tinggi untuk pembangunan hartanah di kawasan tersebut.
Usaha sama berkenaan membolehkan Yong Tai secara strategik mendapat manfaat langsung daripada pemulihan sektor pelancongan Malaysia. - DagangNews.com








