KUALA LUMPUR 15 Dis – Yinson Holdings Bhd berdepan risiko pertumbuhan sederhana yang lebih perlahan sekiranya kelewatan dalam penganugerahan kontrak pengeluaran terapung, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) berterusan, menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Firma penyelidikan itu menyatakan walaupun pendapatan Yinson dalam jangka pendek masih disokong oleh aliran tunai tetap daripada armada FPSO yang sedia ada, kelewatan berterusan dalam pemberian projek baharu boleh menghalang penstrukturan semula kunci kira-kira dan menghadkan pertumbuhan pendapatan selepas tahun kewangan 2028.
CIMB Securities memberitahu kadar tender FPSO baharu Yinson adalah lebih perlahan daripada jangkaan, dengan hanya empat kontrak dianugerahkan setakat tahun ini, berbanding jangkaan pasaran sekitar lapan hingga 10 anugerah setahun.
Menurut firma itu, momentum anugerah yang lebih lemah berpunca daripada garis masa kelulusan projek yang lebih panjang, proses kejuruteraan dan reka bentuk peringkat awal (FEED) yang berlarutan, serta pendekatan perbelanjaan modal yang lebih berdisiplin oleh pengendali minyak dan gas, sekali gus menjejaskan keterlihatan pertumbuhan sektor dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun, CIMB Securities menaikkan unjuran pendapatan Yinson bagi tahun kewangan 2026 sebanyak 6.7%, disokong oleh margin operasi FPSO yang lebih baik.
Semakan naik itu didorong terutamanya oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada FPSO Agogo.
Yinson mencatatkan keuntungan bersih teras RM145 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Okt 2025, disokong oleh sumbangan awal pendapatan daripada Agogo serta penurunan kos kewangan sebanyak 27.6% suku ke suku.
“Anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028 dikekalkan, memandangkan ia telah mengambil kira kadar kebolehoperasian dan tahap pengeluaran yang lebih tinggi daripada FPSO yang baru ditauliahkan, iaitu Maria Quiteria, Atlanta dan Agogo,” katanya.
CIMB Securities mengekalkan saranan “beli” ke atas Yinson, dengan mengambil kira keterlihatan pendapatan jangka panjang yang kukuh disokong oleh buku pesanan bernilai AS$20.8 bilion, termasuk lanjutan kontrak berpotensi, yang menjangkau sehingga 2050.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan harga sasaran RM2.93 bagi saham Yinson. - DagangNews.com








