Yayasan Peneraju sediakan pembiayaan hingga RM150,000 sasar 12,000 bakat baharu Bumiputera tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Yayasan Peneraju sediakan pembiayaan hingga RM150,000 sasar 12,000 bakat baharu Bumiputera tahun ini

brahim Sani bersama alumni Yayasan Peneraju ketika salah satu sesi libat urus alumni YP
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – Yayasan Peneraju menawarkan tambahan 3,000 slot pengambilan baharu bagi bakat Bumiputera untuk menyertai program pensijilan teknologi dan professional pada tahun ini.

 

Ketika ini, lebih 9,000 peserta telah menyertai pelbagai program yang ditawarkan Yayasan Peneraju di seluruh negara.

 

Dengan penambahan itu, Yayasan Peneraju berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 12,000 peserta menjelang akhir 2025.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata langkah ini penting bagi memastikan bakat Bumiputera kekal di barisan hadapan dalam pertumbuhan ekonomi negara.

 

“Untuk mempercepatkan usaha ini, kami mahu mendaftarkan seramai mungkin bakat baharu dalam bidang profesional bagi menyokong ekonomi yang sedang berkembang pesat di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t
Ibrahim Sani

 

Ketika ini, Yayasan Peneraju menawarkan lebih 90 program pensijilan teknologi termasuk keselamatan siber, AI perusahaan, pengamal data dan ArchiMate®.

 

Untuk kursus jangka pendek yang mempunyai permintaan tinggi seperti keselamatan siber dan AI, pemohon boleh memilih pakej pembiayaan serendah RM15,000.

 

Bagi pensijilan professional pula, Yayasan Peneraju menyediakan sokongan pembiayaan sehingga RM150,000 merangkumi yuran pengajian, peperiksaan, bahan pembelajaran serta elaun bulanan.

 

Pensijilan profesional yang ditawarkan termasuk SAP, Halal Executive, Halal Internal Auditor, pemasaran digital, Lean Six Sigma, PRINCE2.

 

Selain itu, turut ditawarkan ialah kelayakan perakaunan global seperti Persatuan Akauntan Pengurusan Bertauliah (CIMA), Persatuan Akauntan Bertauliah Australia (CPA Australia), Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia bersama Chartered Accountants Australia and New Zealand (MICPA x CA ANZ), Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) dan Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW).

 


Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Yayasan Peneraju turut menggalakkan golongan profesional dalam kewangan dan perakaunan, khususnya mereka berusia 30-an dan 40-an, untuk menutup jurang profesional dengan meneruskan laluan pengalaman (experience pathway) bagi mendapatkan kelayakan akauntan bertauliah. - DagangNews.com