KUALA LUMPUR 16 Mei – Yayasan Peneraju menyasarkan untuk melatih 1,000 Bumiputera dalam sektor teknologi menerusi program YP Accelerate (YPXLR8), inisiatif yang dilancarkan di bawah Kementerian Ekonomi.
Program tersebut menyasarkan individu yang tidak mempunyai latar belakang dalam bidang teknologi untuk dilatih semula bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap tenaga mahir digital di Malaysia.
Setiap peserta akan menerima elaun bulanan RM1,500 selama lapan bulan serta kredit latihan berjumlah RM9,000 untuk memperoleh latihan berkaitan teknologi sepanjang program.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, program itu membuka peluang kepada Bumiputera tanpa pengalaman untuk menyertai kerjaya dalam bidang teknologi.
"Ribuan pekerjaan dijangka terjejas susulan revolusi kecerdasan buatan (AI) dan bakat sedia ada perlu dilengkapi semula dengan kemahiran teknologi untuk kekal relevan serta bersedia menghadapi cabaran masa depan.
"Program YPXLR8 menawarkan latihan industri sekurang-kurangnya lapan bulan bersama syarikat penempatan atau terus ke jawatan tetap, disertakan bimbingan dan pengalaman kerja sebenar," katanya dalam satu kenyataan.
Peserta akan menerima latihan dalam pembangunan perisian, data dan analitik, keselamatan siber, kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, sistem dan infrastruktur, reka bentuk UX/UI, pengurusan produk, kecerdasan perniagaan serta sokongan perisian.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi berkata, program itu menyokong agenda pendigitalan negara dengan memperkukuh kehadiran Bumiputera dalam sektor teknologi strategik.
"Inisiatif ini sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR), serta memastikan tenaga kerja negara kekal kompetitif," katanya.
Yayasan Peneraju kini membuka penyertaan syarikat daripada pelbagai sektor untuk menjadi rakan industri yang menawarkan peranan dalam bidang teknologi seperti analitik digital, keselamatan siber, dan kecerdasan perniagaan.
Syarikat yang berminat menjadi rakan industri boleh mendaftar melalui laman rasmi Yayasan Peneraju.- DagangNews.com








