KUALA LUMPUR 12 Jan – Wyndham Hotels & Resorts terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pembukaan tiga lagi hotel baharu yang mencerminkan keyakinan syarikat terhadap potensi pasaran pelancongan negara ini yang terus berkembang.
Hotel-hotel baharu yang dilancarkan pada suku keempat 2025 merangkumi Wyndham Grand i-City Shah Alam di Selangor, Wyndham Garden Suites Ipoh ICC di Perak, Howard Johnson by Wyndham Kota Kinabalu City Centre di Sabah, The Isola KLCC di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur dan Trigo Kuala Lumpur di Chow Kit.
Selain pembukaan hotel baharu, Wyndham juga mengumumkan tiga hotel tambahan iaitu Wyndham Garden Kuantan J-City, Wyndham Grand Ipoh dan Orion Tower Kuala Lumpur.
Orion Tower Kuala Lumpur menjadi hotel pertama di Malaysia yang memperkenalkan jenama Registry Collection daripada Wyndham.
Sementara itu Naib Presiden Pembangunan Wyndham untuk Asia Tenggara dan Pasifik, Matt Holmes menyifatkan Malaysia sebagai pasaran penting syarikat.
“Permintaan pelancong yang tinggi menjadi faktor utama dalam memperluas kehadiran kami di negara ini. Wyndham memfokuskan usaha untuk bekerjasama dengan pemilik yang tepat di lokasi strategik.
“Strategi ini bertujuan memastikan jenama Wyndham memberikan pengalaman yang bermakna dan memenuhi keperluan pengembara masa kini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pembukaan hotel baharu itu adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang Wyndham untuk meningkatkan skala operasi serta pengaruh jenama di pasaran utama Malaysia.
Dengan penambahan baharu ini, Wyndham kini mengendalikan 19 hotel di seluruh negara, menawarkan lebih daripada 5,200 bilik dan menampilkan lapan jenama, termasuk Ramada, Days Inn, dan Wyndham Grand.
Kehadiran pelbagai jenama membolehkan Wyndham memenuhi keperluan pelancong dari pelbagai segmen, sama ada untuk tujuan perniagaan atau percutian.
Malaysia merekodkan 24.5 juta pelawat antarabangsa antara Januari hingga Julai 2025, meningkat 16.8 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com








