KUALA LUMPUR 4 Sept - WTK Holdings Berhad bersama BioPalm Venture memeterai perjanjian bersyarat bagi mengambil alih pegangan penuh atau majoriti dalam tiga syarikat bernilai RM555 juta.
Penasihat korporat bagi urus niaga itu, UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd berkata, pengambilalihan pertama menyaksikan WTK akan membeli 7 juta saham biasa atau 100% kepentingan dalam Desacorp Sdn Bhd daripada WTK Realty berharga RM230.
Bagai urusniaga seterusnya, Biopalm Venture akan membeli 14 juta saham biasa mewakili 70% kepentingan ekuti dalam Imbok Enterprise Sdn Bhd daripada WTK Realty berharga RM290 juta.
Pengambilalihan ketiga menyaksikan Bio Palm Venture membeli 3.5 juta saham biasa mewakili 70 kepentingan ekuiti dalam WTK Oil Mill Sdn Bhd berharga RM35 juta.
"Pengambilalihan itu merupakan langkah penting dalam usaha menyusun semula portfolio WTK Realty serta mengukuhkan kedudukan strategik WTK dan BioPalm Venture di pasaran," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Cadangan pengambilalihan itu adalah selaras dengan strategi keseluruhan WTK untuk memperluas kehadirannya dalam perniagaan penanaman kelapa sawit di Sarawak yang merangkumi aktiviti huluan ladang kelapa sawit serta operasi kilang kelapa sawit.
Apabila selesai pengambilalihan WTK Oil Mill, kilang kelapa sawit tersebut akan menyokong dalam pemprosesan buah tandan segar (BTS) daripada ladang milik kumpulan.
Ia akan meningkatkan kecekapan keseluruhan rantaian bekalan WTK dengan mendapatkan kemudahan kilang khusus bagi perniagaan perladangan yang sedang berkembang, yang merangkumi kecekapan kos dengan mengurangkan pergantungan kepada kilang pihak ketiga; kawalan kualiti yang lebih baik ke atas pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan pengoptimuman kos logistik dan pengangkutan, memandangkan kilang tersebut terletak dalam Ladang Imbok Enterprise.
Apabila selesai pengambilalihan itu, WTK akan menjadi syarikat yang lebih kukuh dalam industri perladangan, dengan skala operasi yang lebih besar dan kecekapan yang dipertingkat.
"Potensi hasil yang lebih tinggi daripada Ladang Desacorp dan ladang pokok kelapa sawit muda milik Imbok Enterprise, digabungkan dengan operasi pengilangan khusus WTK Oil Mill, dijangka akan menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan dalam tahun-tahun mendatang.
"Dengan peningkatan permintaan global terhadap minyak sawit, WTK berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang pasaran, sekali gus memastikan pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan untuk kumpulan serta pemegang sahamnya," katanya.- DagangNews.com








