Worldwide Entech terima pengiktirafan Malaysia Book of Records, tapak pelupusan sanitari pertama ditukar menjadi taman rekreasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Worldwide Entech terima pengiktirafan Malaysia Book of Records, tapak pelupusan sanitari pertama ditukar menjadi taman rekreasi

Pengarah Eksekutif Worldwide Entech, Datin Paduka Norazlina Zakaria menerima sijil Malaysia Book of Records (MBOR) atas penubuhan taman rekreasi pertama yang dibina daripada tapak pelupusan sanitari kejuruteraan.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Julai - Worldwide Entech Sdn Bhd (Worldwide Entech), anak syarikat milik penuh Worldwide Holdings Berhad (WHB), telah diiktiraf secara rasmi oleh Malaysia Book of Records sebagai syarikat pertama di Malaysia yang berjaya menukar tapak pelupusan sanitari kepada taman rekreasi awam. 

 

Sijil pengiktirafan telah disampaikan kepada Pengarah Eksekutif Worldwide Entech, Datin Paduka Norazlina Zakaria semasa majlis MBR30 Celebration of Delights yang berlangsung di One World Hotel, Bandar Utama, Petaling Jaya.

 

Tapak seluas 40.46 hektar yang terletak di Puchong itu telah mencapai pelbagai pencapaian penting dalam industri. 

 

Pada tahun 1995, ia menjadi tapak pelupusan sanitari sisa pepejal yang pertama di Malaysia. Pada tahun 2004, tapak yang sama telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records atas kejayaan melaksanakan projek penjanaan tenaga elektrik dari gas tapak pelupusan iaitu gas metana, dengan menukar gas metana yang terhasil daripada pereputan sisa pepejal kepada tenaga elektrik.

 

Pengiktirafan terkini itu menyerlahkan kecemerlangan operasi dan pendekatan inovatif Worldwide Entech dalam pemulihan alam sekitar, di samping mencerminkan visi jangka panjang dan kepimpinan WHB dalam pengurusan sisa lestari dan pembangunan infrastruktur hijau.

 

mbor
Wakil-wakil daripada Worldwide Entech menyaksikan detik bersejarah syarikat dalam menerima rekod kebangsaan.

 

“Pencapaian ini adalah cerminan kepada komitmen berterusan Kumpulan kami dalam inovasi alam sekitar dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 

“Menukar tapak pelupusan lama yang telah ditutup kepada ruang rekreasi dan bermanfaat adalah makna sebenar kelestarian — menjadikan cabaran semalam sebagai nilai bersama untuk hari esok," kata Norzalina dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Tapak yang telah ditukar itu kini berfungsi sebagai taman rekreasi komuniti dengan kemudahan seperti kawasan landskap, laluan pejalan kaki, dan kemudahan awam  dibangunkan mengikut piawaian antarabangsa bagi pengurusan pasca penutupan tapak pelupusan. 

 

Hari ini, ia menjadi model nasional bagaimana tanah boleh ditransformasi dengan tujuan yang bermakna.

 

Sebagai cabang pengurusan alam sekitar di bawah WHB, Worldwide Entech terus menerajui penyelesaian jangka panjang dalam pengurusan sisa, selaras dengan visi Kumpulan untuk mencipta nilai mampan bagi Selangor dan seterusnya. 

 

Projek terbaharu Worldwide Entech dalam membina infrastruktur lestari termasuk pembangunan tiga projek Waste-to-Energy (WTE) di Selangor, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan sisa secara mampan.- DagangNews.com