KUALA LUMPUR 28 Ogos – 1MK Office Sdn Bhd, pemilik Wisma Mont Kiara mengumumkan pelupusan aset menara pejabat itu pada harga RM130 juta dengan kadar penyewaan kini mencapai 98% dan hanya dua unit kosong.
Dibina pada 2010, Wisma Mont Kiara mempunyai kawasan boleh disewa bersih seluas 181,992 kaki persegi dan kawasan lantai kasar 241,682 kaki persegi.
Menara pejabat strata milik bebas ini mempunyai 16 tingkat di atas 1 Mont Kiara Mall yang mempunyai 4 tingkat dengan 1,385 tempat letak kereta serta sambungan terus ke stesen MRT yang akan datang.
Kadar sewa semasa adalah antara RM4.50 hingga RM5.50 bagi setiap kaki persegi. 1MK Office memperoleh menara pejabat ini pada 2017 pada harga RM122 juta.
Pengurus projek 1MK Office, Sultan Allahham berkata, pelupusan ini adalah sebahagian daripada strategi syarikat untuk mengekalkan dan meningkatkan nilai aset selama lima hingga enam tahun sebelum melabur semula dalam sektor lain, termasuk logistik, penjagaan kesihatan dan infrastruktur.
“Dengan peningkatan pasaran semasa dan kadar penyewaan yang lebih tinggi, kini adalah masa yang sesuai untuk menjual bangunan ini,” katanya.
Ejen pemasaran eksklusif bagi urusan penjualan ini ialah Rahim & Co.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rahim & Co, Siva Shanker berkata, hartanah kediaman kini mendominasi pasaran dengan 62% daripada semua transaksi.
“Keadaan ini menjadikan aset komersial (pejabat, kedai atau kilang) yang dijual semakin terhad, sekaligus meningkatkan kepentingan hartanah komersial sebagai pilihan pelaburan alternatif bagi para pelabur.
“Pasaran hartanah dijangka menyaksikan pertumbuhan lebih beransur-ansur berbanding lonjakan tinggi yang berlaku antara 2021 hingga 2024.
“Malaysia perlu berhenti bergantung kepada pertumbuhan tinggi, pertumbuhan dua digit tidak mampan. Kita perlu sasarkan pertumbuhan satu digit yang perlahan supaya apabila pasaran naik perlahan, ia juga akan turun perlahan untuk memberi peluang yang lebih baik bagi pemulihan,” katanya. - DagangNews.com








