Wintech Metal kemuka permohonan IPO di Pasaran ACE bagi pembelian mesin, pembayaran pinjaman bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wintech Metal kemuka permohonan IPO di Pasaran ACE bagi pembelian mesin, pembayaran pinjaman bank

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Okt - Pengeluar komponen logam dan perabot, Wintech Metal Berhad merancang untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana sebagai modal kerja, pembelian mesin serta peralatan baharu dan pembayaran semula pinjaman bank.

 

Menurut draf prospektus yang difailkan kepada Bursa Malaysia, penyenaraian yang dicadangkan itu akan melibatkan tawaran sehingga 27.5% pegangan saham dalam syarikat.

 

Ini merangkumi tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 132.49 juta saham baharu atau 20.38% daripada modal diperbesarkan, serta tawaran untuk jualan 46.26 juta saham sedia ada atau 7.12% pegangan.

 

Pemegang saham terbesar Wintech ialah dua beradik Wong Kim Hwa dan Wong Kim Loong, yang masing-masing memegang 52.8% dan 29.1% kepentingan dalam syarikat itu. Pemegang saham ketiga terbesar ialah Loong Tuck Soon, dengan pegangan 9.7%.

 

Ketiga-tiga mereka akan menjual sebahagian kepentingan masing-masing melalui tawaran untuk jualan itu. 

 

Selepas penyenaraian, pegangan Kim Hwa akan berkurang kepada 42.07%, Kim Loong kepada 21.03%, manakala Tuck Soon akan memiliki 7.01%.

 

Selain menghasilkan komponen logam dan perabot, Wintech turut mengeluarkan pondok kerja mudah alih, yang menyumbang lebih 99% daripada hasil tahunan syarikat.

 

Berpangkalan di Selangor, syarikat itu mempunyai pengalaman selama 24 tahun dalam pembuatan produk berasaskan logam, dan turut mengeksport produknya ke luar negara, dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai pasaran eksport utama. Produk syarikat itu kini turut terkesan oleh tarif baharu AS.

 

Wintech kekal mencatatkan keuntungan bagi tiga tahun kewangan berturut-turut, walaupun keuntungan bersih menurun daripada RM20.66 juta bagi tahun kewangan 2022 (FY22) kepada RM11.71 juta bagi FY24, sejajar dengan penurunan margin keuntungan daripada 19.39% kepada 9.82%.

 

Public Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, pengurus penempatan tunggal serta penjamin utama bagi tawaran awam permulaan (IPO) Wintech.- DagangNews.com