KUALA LUMPUR 29 Dis – Winstar Capital Bhd berjaya mengumpul RM11.29 juta daripada pelabur Bumiputera menerusi terbitan khas saham baharu, sekali gus memenuhi keperluan 12.50% ekuiti Bumiputera seperti ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia baru-baru ini, syarikat itu berkata Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi surat bertarikh 24 Disember 2025 memaklumkan Winstar dianggap telah mematuhi Keperluan Ekuiti Bumiputera selepas mengambil kira pelaksanaan terbitan khas berkenaan.
Di bawah cadangan tersebut, Winstar menerbitkan sehingga 41,450,000 saham biasa baharu kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan atau diiktiraf oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Pada 4 Disember 2025, Winstar menetapkan harga terbitan saham khas itu pada RM0.51 sesaham iaitu premium kira-kira RM0.0099 atau 1.98% berbanding purata harga pasaran wajaran lima hari saham Winstar dari 27 November 2025 hingga 3 Disember 2025 pada sekitar RM0.5001 sesaham.
Syarikat turut memaklumkan pada 5 Disember 2025, MITI telah mengemukakan senarai peruntukan melibatkan 91 pelabur Bumiputera bagi 27,013,300 saham terbitan khas.
Bagaimanapun, hanya 22,134,900 saham terbitan khas diterima langganan dengan bayaran keseluruhan sebanyak RM11,288,799 daripada 44 pelabur Bumiputera, mewakili kadar penerimaan 53.40% daripada jumlah 41,450,000 saham yang ditawarkan.
Menurut Winstar, MITI melalui surat bertarikh 16 Disember 2025 telah memaklumkan semua usaha telah dilaksanakan bagi membantu syarikat memenuhi keperluan ekuiti Bumiputera tersebut.
Seterusnya, pada 17 Disember 2025, sebanyak 22,134,900 saham terbitan khas telah diperuntukkan kepada 44 pelabur Bumiputera dan disenaraikan serta diniagakan di Pasaran ACE Bursa Malaysia berkuat kuasa 9 pagi, Rabu, 18 Disember 2025.
Perkembangan ini menandakan satu pencapaian penting bagi Winstar dalam usaha memperkukuh struktur pemegang saham Bumiputera, di samping menyediakan suntikan dana baharu untuk menyokong keperluan pembiayaan dan pertumbuhan masa hadapan kumpulan. - DagangNews.com








