KUALA LUMPUR 29 Dis – Willowglen MSC Berhad memperoleh kontrak baharu bernilai kira-kira RM8.59 juta daripada SP PowerAssets Limited, Singapura dalam segmen rumusan automasi dan rumusan utiliti di peringkat antarabangsa.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Willowglen berkata kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Willowglen Services Pte Ltd, melibatkan kerja pembekalan, penghantaran, pemasangan, pentauliahan dan penyelenggaraan Unit Terminal Jauh bagi pemasangan baharu dan penggantian di pencawang penghantaran.
Menurut kenyataan itu, kontrak berkenaan bermula pada 26 Disember 2025 dan dijangka siap pada 25 Disember 2035, menjadikannya komitmen jangka panjang yang akan menyokong aliran pendapatan kumpulan bagi tempoh sedekad.
“Kontrak ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan serta aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 2035,” katanya.
Willowglen turut memaklumkan kontrak berkenaan tidak boleh diperbaharui dan tertakluk kepada risiko perniagaan biasa, selain menegaskan tiada kepentingan langsung atau tidak langsung melibatkan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam penganugerahan kontrak tersebut.
Pemberian kontrak ini mengukuhkan lagi kedudukan Willowglen sebagai penyedia rumusan automasi dan kawalan industri khususnya dalam sektor tenaga dan utiliti di Singapura serta rantau Asia Tenggara. - DagangNews.com








