Wawasan Dengkil raih kontrak RM22.7 juta dari PKNS bina 56 unit rumah di Sepang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wawasan Dengkil raih kontrak RM22.7 juta dari PKNS bina 56 unit rumah di Sepang

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 April - Wawasan Dengkil Holding Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Wawasan Dengkil Sdn Bhd menerima surat penerimaan (LOA) daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bagi pelaksanaan projek pembinaan perumahan bernilai RM22.7 juta di Sepang. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat tersebut berkata kontrak tersebut melibatkan pembinaan dan penyiapan 56 unit rumah kediaman setingkat bersama kemudahan berkaitan di Kampung Bukit Baja, Mukim Sepang, Selangor.

 

Tempoh pelaksanaan projek ditetapkan selama 72 minggu bermula 8 Jun 2026 dan dijangka siap pada 24 Oktober 2027.

 

“Wawasan Dengkil Sdn Bhd dikehendaki melaksanakan kerja-kerja kontrak dalam tempoh yang ditetapkan serta memenuhi keperluan PKNS, jika gagal, pihak berkuasa berhak menamatkan kontrak dan/atau mengenakan ganti rugi yang ditetapkan,” katanya.

 

Menurut Wawasan Dengkil, projek berkenaan dijangka memberi kesan positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham serta nisbah penggearan kumpulan sepanjang tempoh pembinaan.

 

Bagaimanapun kontrak tersebut tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham serta pegangan pemegang saham utama.

 

Tiada risiko luar biasa dijangka selain risiko operasi biasa yang berkaitan dengan pelaksanaan projek pembinaan, namun langkah mitigasi akan diambil dari semasa ke semasa.

 

Penerimaan LOA ini juga tidak memerlukan kelulusan pemegang saham mahupun mana-mana pihak berkuasa kawal selia.

 

“Lembaga Pengarah berpendapat kontrak ini adalah dalam perjalanan biasa perniagaan kumpulan dan adalah demi kepentingan terbaik syarikat,” menurut kenyataan itu lagi.  - DagangNews.com