Wawasan Dengkil pegang 70% kepentingan Projek Silica bernilai RM44.76 juta di wilayah selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wawasan Dengkil pegang 70% kepentingan Projek Silica bernilai RM44.76 juta di wilayah selatan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Wawasan Dengkil Holdings Bhd, syarikat perkhidmatan pembinaan, telah memeterai usaha sama strategik dengan Twin Hi-Technologies Sdn Bhd bagi melaksanakan Projek Silica, inisiatif pembangunan infrastruktur gentian optik di selatan Semenanjung Malaysia.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Wawasan Dengkil memaklumkan bahawa ia akan memegang 70% kepentingan dalam usaha sama tersebut, sekali gus melayakkannya menerima 70% daripada keuntungan konsortium, manakala baki 30% akan dimiliki oleh Twin Hi-Technologies yang berpangkalan di Terengganu.

 

Usaha sama itu terbentuk susulan kejayaan konsortium tersebut memperoleh kontrak bernilai RM44.76 juta daripada PG LinkaranFiber Sdn Bhd pada 2 Julai lalu.

 

"Kontrak itu merangkumi kerja-kerja pembekalan dan pembinaan infrastruktur gentian optik untuk pelaksanaan Projek Silica," kata syarikat itu.

 

Projek tersebut telah dimulakan pada 25 Jun 2025, dengan penyerahan sijil penerimaan akhir dijadualkan dalam tempoh 19 bulan selepas kerja-kerja pentauliahan disiapkan. Tempoh liabiliti kecacatan selama 12 bulan akan berkuat kuasa selepas itu.

 

Berpangkalan di Dengkil, Selangor, Wawasan Dengkil baru sahaja disenaraikan pada 25 Mac 2025, dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen sesaham.

 

Projek Silica dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan pendapatan syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang, selaras dengan fokusnya untuk mengukuhkan kedudukan dalam sektor infrastruktur digital dan telekomunikasi.
- DagangNews.co