Watlow perkukuh kehadiran di Malaysia dengan pembukaan kilang baharu di Kulim Hi-Tech Park  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Watlow perkukuh kehadiran di Malaysia dengan pembukaan kilang baharu di Kulim Hi-Tech Park 

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Mei – Watlow Electric Manufacturing Company, memperkukuh komitmen jangka panjangnya dengan membuka kilang berteknologi tinggi di Kulim Hi-Tech Park menjadikan Malaysia sebagai hab strategik bagi kejuruteraan, inovasi, dan integrasi rantaian bekalan serantau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Watlow, Rob Gilmore berkata, Malaysia merupakan lokasi penting dalam strategi global syarikat, khususnya bagi pasaran Asia Pasifik.

 

"Kilang ini bukan sahaja menyokong pelanggan kami yang semakin berkembang di Asia, malah memperkukuh keupayaan kami untuk berinovasi bersama rakan industri di salah satu rantau pembuatan paling dinamik di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kilang baharu seluas lebih 65,000 kaki persegi dilengkapi teknologi terkini untuk menghasilkan pemanas dan penebat berprestasi tinggi, digunakan dalam industri kritikal seperti semikonduktor, aeroangkasa, automotif dan sistem tenaga.

 

Pengarah Operasi Watlow Malaysia, Chor Ruey berkata, kilang baharu itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pertumbuhan di rantau ini.

 

"Pertumbuhan pasukan kami di Malaysia menunjukkan kesungguhan syarikat untuk melabur dalam bakat tempatan dan menyokong ekosistem industri berdaya saing," katanya.

 

Majlis perasmian pada 24 Februari lalu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Dr. Haim Hilman Abdullah bersama Rob Gilmore.

 

Watlow komited menyokong aspirasi negara dalam membangunkan ekonomi berteknologi tinggi melalui kerjasama dengan institusi pendidikan, penyedia latihan teknikal, dan vendor tempatan.

 

Kilang di Kulim kini menyokong pelanggan di seluruh Asia Tenggara dan bakal memainkan peranan penting dalam projek inovasi yang menumpukan kecekapan tenaga, kelestarian, dan integrasi digital.

 

Watlow yang memasuki pasaran Asia sejak 1989 kini mempunyai lebih 4,000 kakitangan di seluruh dunia serta rangkaian paten kukuh, menjadikan syarikat itu rakan teknologi pilihan bagi pengeluar termaju global.

 

Dengan permintaan terhadap sistem haba pintar dan lestari yang semakin meningkat, kehadiran di Malaysia dijangka meningkatkan keupayaan syarikat dalam menyediakan rumusan tersuai secara pantas dan berskala.- DagangNews.com