KUALA LUMPUR 5 Ogos – Kumpulan MBSB mengumumkan pelantikan Pengerusinya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, sebagai Pengerusi MBSB Investment Bank, berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan tersebut menyatukan kepimpinan tertinggi ketiga-tiga entiti utama kumpulan iaitu MBSB Berhad, MBSB Bank Berhad dan MBSB Investment Bank, sebagai langkah penting ke arah memperkukuhkan hala tuju strategik merentasi segmen perbankan komersial dan perbankan pelaburan.
Menurut MBSB, langkah ini merupakan pencapaian penting dalam usaha menyokong perjalanan transformasi kumpulan menerusi pelan hala tuju FLIGHT26, yang menekankan pendekatan lebih menyeluruh, bersepadu dan berfokus kepada pelanggan, termasuk dalam bidang kewangan berasaskan nilai.
“Dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam sektor kewangan dan perkhidmatan awam, Wan Kamaruzaman sebelum ini pernah menerajui pelbagai institusi terkemuka termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), di mana beliau memacu pertumbuhan institusi secara mampan serta memperkenalkan reformasi penting.
“Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Perbendaharaan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain memegang jawatan kanan dalam Malayan Banking Berhad dengan penugasan antarabangsa di Hamburg dan London, serta menerajui beberapa syarikat dalam Kumpulan Affin.
“Penglibatan beliau dalam landskap kewangan negara turut merangkumi pelbagai peranan sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat awam tersenarai seperti Bursa Malaysia, Bank of America Malaysia, Malakoff Corporation, Malaysian Resources Corporation Berhad dan Bermaz Auto Berhad, di samping menyumbang kepada badan industri seperti FTSE Russell Advisory Committee dan Institutional Investors Council Malaysia,” kata MBSB dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Wan Kamaruzaman berkata, beliau berbesar hati untuk menyandang peranan baharu yang lebih luas itu.
“Kumpulan MBSB mempunyai peluang unik untuk membina sesuatu yang mampan, menyatukan perbankan komersial, perbankan pelaburan dan kewangan berasaskan nilai bagi memenuhi keperluan sebenar pasaran.
“Saya teruja untuk terus bekerjasama dengan kedua-dua pasukan dalam merealisasikan visi ini,” katanya.
Dalam masa sama, MBSB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mohd Nasir Ali atas sumbangan dan kepimpinannya sepanjang tempoh enam tahun sebagai Pengerusi MBSB Investment Bank, yang tamat pada 4 Ogos 2025. - DagangNews.com








