VS Industry peruntukkan RM50 juta pada 2026 bagi penyelenggaraan, peningkatan operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VS Industry peruntukkan RM50 juta pada 2026 bagi penyelenggaraan, peningkatan operasi

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan – VS Industry Berhad, penyedia Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS) memperuntukkan kira-kira RM50 juta untuk perbelanjaan modal bagi tahun kewangan 2026.

 

Pengarah Urusannya Datuk S.Y. Gan berkata peruntukan tersebut akan digunakan untuk penyelenggaraan dan peningkatan mesin sedia ada serta keupayaan operasi. 

 

“Peruntukan ini juga menyokong inisiatif peningkatan rantaian nilai kumpulan, termasuk mengoptimumkan proses dan penambahbaikan kecekapan operasi, selaras dengan usaha kumpulan mengekalkan prestasi kukuh di tengah cabaran pasaran global.

 

“Pada masa yang sama, pengeluaran besar beberapa model baharu dijangka meningkatkan kadar penggunaan kapasiti keseluruhan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya VS Industry juga telah menambah seorang pelanggan baharu dengan pengeluaran dijangka bermula tidak lama lagi. 

 

“Di kilang kami di Filipina, pengeluaran model kedua bagi seorang pelanggan telah pun bermula dan kilang tersebut sedang menambah keupayaan huluan (upstream capabilities) termasuk pemasangan papan litar yang melengkapkan proses suntikan plastik sedia ada bagi meningkatkan kecekapan kos dan pengurusan pengeluaran secara menyeluruh,” katanya.

 

Bagi tahun kewangan 2025, VS Industry membayar jumlah dividen sebanyak RM51.9 juta kepada pemegang saham, melebihi keuntungan bersih syarikat sebanyak RM36.7 juta. 

 

Jumlah dividen ini lebih tinggi daripada dasar syarikat yang biasanya menetapkan 40% daripada keuntungan bersih.

 

Walaupun keuntungan VS Industry pada FY25 lebih rendah, syarikat masih membayar dividen tinggi kepada pemegang saham kerana mempunyai simpanan tunai yang kukuh.

 

Dari segi kedudukan kewangan, kumpulan mengekalkan imbangan kewangan yang sihat dengan pegangan tunai kasar RM752.6 juta dan aset bersih RM0.56 sen sesaham setakat akhir Oktober 2025. 

 

Beliau berkata Kumpulan yakin dapat menempuh cabaran ini dan muncul lebih kukuh daripada sebelumnya, memanfaatkan keupayaan terbukti, rekod prestasi, serta pengalaman yang disokong oleh kedudukan kewangan kukuh. - DagangNews.com