KUALA LUMPUR 23 Mei – Velesto Energy Bhd meraih kontrak penggerudian baharu daripada PC Ketapang II Ltd, PC North Madura II Ltd, dan Petronas North Ketapang Sdn Bhd bagi pelantar jack-up NAGA 8 di Indonesia.
Kontrak itu meliputi 12 telaga tetap dan tiga pilihan tambahan, dijadual bermula Julai 2025 untuk tempoh tetap empat tahun.
Velesto memaklumkan tempoh penggantungan operasi ditetapkan dari Februari hingga Julai 2026, namun syarikat mengekalkan hak untuk memasarkan NAGA 8 bagi peluang lain dalam tempoh tersebut.
Operasi dijangka bersambung semula Julai 2026, tertakluk kepada makluman selanjutnya oleh pihak pelanggan.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, kontrak itu mengukuhkan lagi kehadiran di rantau Asia Tenggara.
"Ini merupakan kontrak kedua yang diraih di rantau ini dan mencerminkan komitmen kami terhadap pertumbuhan strategik.
"Kami terus memberi tumpuan membina portfolio kontrak yang kukuh bagi memperkukuh prospek serta menjana nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan," katanya dalam satu kenyataan.
Kontrak itu dijangka meningkatkan kadar penggunaan pelantar serta menambah keterlihatan pendapatan syarikat dari 2025 hingga 2028.- DagangNews.com








