Velesto bida 2 kontrak jangka panjang tempatan, dijangka bermula 2Q26 - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Velesto bida 2 kontrak jangka panjang tempatan, dijangka bermula 2Q26 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Okt - Maybank Investment Bank positif terhadap prospek Velesto Energy Berhad berikutan usaha kumpulan itu untuk mendapatkan kontrak jangka panjang tempatan bagi pelantar Naga 2 dan Naga 6 yang disasarkan bermula pada suku kedua tahun 2026 (2Q26).

 

Katanya, sekiranya Velesto berjaya memperoleh kontrak baharu bagi kedua-dua pelantar tersebut, ia akan mengukuhkan pendapatan kumpulan secara berterusan, dengan sokongan daripada kontrak jangka sederhana hingga panjang yang memberikan aliran tunai yang kukuh serta kestabilan pendapatan bagi tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan positif terhadap syarikat itu sambil menegaskan potensi kontrak baharu dan keupayaan menjana aliran tunai kukuh membolehkan Velesto berpotensi meningkatkan agihan dividen. 

 

Unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027 (FY25–FY27) kekal tidak berubah, namun unjuran dividen telah dinaikkan kepada 3 sen sesaham setahun, menawarkan hasil dividen sekitar 12%.

 

"Pada akhir suku kedua 2025 (2Q25), buku tender Velesto melonjak 54% suku ke suku kepada RM4.3 bilion, daripada RM2.8 bilion pada suku pertama. 

 

"Sekitar 87% daripada nilai tender tersebut terdiri daripada potensi kontrak jangka panjang, termasuk projek Naga 2 dan Naga 6 di Malaysia.

 

"Kedua-dua kontrak dijangka bermula sekitar 2Q26, dan sekiranya dimenangi, dijangka memberikan aliran pendapatan berulang yang stabil dalam jangka panjang," katanya dalam satu nota kajian.

 

Maybank IB berkata, tunai bersih Velesto dijangka meningkat kepada RM107 juta, RM149 juta dan RM196 juta antara FY25 hingga FY27 berbanding RM70 juta pada FY24.

 

Ditambah dengan sokongan daripada langkah pengurangan modal pada 14 Ogos 2025, firma penyelidikan itu percaya Velesto boleh membayar lebih 100% keuntungan dengan selesa dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) 29 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com