VCI Global tubuh VCI Energy, lantik Victor Lee sebagai CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VCI Global tubuh VCI Energy, lantik Victor Lee sebagai CEO

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Ogos – VCI Global Limited menubuhkan VCI Energy Limited, subsidiari milik penuhnya yang memfokuskan kepada pembangunan infrastruktur tenaga bersih.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif VCI Global, Datuk Victor Hoo berkata, langkah itu adalah satu permulaan untuk syarikat menceburi pasaran infrastruktur tenaga bersih global bernilai AS$1.5 trilion.

 

“Bagi mencapai hasrat tersebut, syarikat melantik bekas Pengarah Urusan Franklin Templeton, Victor Lee sebagai Ketua Pegawai Eksekutif VCI Energy.

 

“Beliau mempunyai pengalaman luas dalam pelaburan institusi dan pembiayaan infrastruktur, menyasarkan peluang berskala besar dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga dan infrastruktur tenaga berskala besar,” katanya dalam satu kenyataan.

 

VCI Energy dijangka membuka perkongsian berskala besar, aliran pendapatan berulang dan penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang saham.

 

Tambahnya, VCI Energy akan memfokuskan kepada tiga segmen utama iaitu penjanaan dan penyimpanan tenaga bersih dengan pelaburan dalam aset tenaga boleh diperbaharui serta sistem bateri dan mikrogrid generasi baharu.

 

“Kedua, infrastruktur yang berskala nasional dengan rangka kerja yang selaras dengan strategi digital, AI dan keselamatan data negara.

 

“Seterusnya, perkongsian strategik dan pelaburan melalui kerjasama dengan kerajaan, utiliti dan pelabur institusi untuk projek tenaga bersih berskala besar di Asia dan global,” katanya.

 

Berdasarkan laporan Allied Market Research, pasaran infrastruktur tenaga bersih dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 9.3%, mencapai kira-kira AS$1.5 trilion menjelang 2033.

 

Asia Pasifik dijangka menjadi salah satu wilayah dengan pertumbuhan terpantas, didorong oleh pelaksanaan tenaga boleh diperbaharui berskala besar, peralihan kepada tenaga elektrik dan pelaburan negara dalam sektor tenaga.

 

Sementara itu, Victor Lee berkata, pelantikan itu adalah satu penghormatan buat dirinya untuk mengetuai VCI Energy dalam peralihan tenaga global ini.

 

“Visi kami adalah untuk mewujudkan platform tenaga bersih yang menggabungkan kelestarian serta memberi pulangan kukuh kepada pelabur sambil menyumbang kepada peralihan dunia ke arah sistem tenaga yang tahan lasak dan bersedia untuk masa depan,” katanya. - DagangNews.com