VCI Global lantik Dr. Chan Wai Mun sebagai Ketua Pegawai AI & Data | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VCI Global lantik Dr. Chan Wai Mun sebagai Ketua Pegawai AI & Data

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos – VCI Global Limited telah melantik Dr. Chan Wai Mun sebagai Ketua Pegawai Kecerdasan Buatan (AI) dan Data, langkah strategik syarikat untuk memperluaskan penerapan teknologi pintar di sektor korporat dan agensi kerajaan.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif VCI Global, Datuk Victor Hoo berkata pelantikan tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkukuh inovasi berasaskan data dan mempercepat penggunaan teknologi AI merentas pelbagai platform, seiring matlamat membangunkan ekosistem digital berdaulat di Asia Tenggara.

 

“Kepakaran akademik serta pengalaman praktikal beliau dalam pelaksanaan teknologi AI bakal menjadi pemacu utama dalam menterjemah data kepada nilai yang dapat dimanfaatkan pelanggan, selaras dengan matlamat kami untuk memperluas infrastruktur AI di rantau ini.

 

“Beliau akan memainkan peranan penting dalam membangunkan platform AI yang boleh terus digunakan oleh kerajaan dan sektor korporat untuk membuat keputusan berdasarkan maklumat yang tepat dan bukan sekadar data semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Wai Mun memiliki latar belakang kukuh dalam bidang analitik data dan AI serta pernah memegang jawatan penting dalam bidang sains data di syarikat global terkemuka seperti Intel dan GfK (di bawah NielsenIQ) dengan terlibat dalam pembangunan serta pelaksanaan penyelesaian AI aplikasi sebenar.

 

Berasaskan pengalaman lebih tujuh tahun dalam sektor pembuatan, operasi dan runcit, serta pemegang Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang kejuruteraan, beliau adalah pakar dalam pembangunan analitik perniagaan, pembelajaran mesin dan model bahasa besar (LLM).

 

Kepakarannya termasuk membangunkan sistem AI bertaraf perusahaan di atas platform Microsoft Azure, menjadikan beliau calon tepat untuk memimpin pelaksanaan AI asli awan yang kompleks.

 

Pelantikan itu selaras hasrat VCI Global yang kini sedang giat mengembangkan inisiatif AI dan keselamatan siber, termasuk pelancaran SecureGPU™, infrastruktur pengkomputeran AI yang dienskripsi milik syarikat serta CyberSecure, penyelesaian keselamatan awan tahan kuantum bertaraf ketenteraan bagi kegunaan korporat dan institusi.

 

Kesemua inisiatif ini merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh VCI Global untuk menyediakan platform AI-sebagai-Perkhidmatan yang selamat, berskala dan berprestasi tinggi di Asia Tenggara.

 

Beliau berkata, dengan pelantikan Wai Mun untuk menerajui pembangunan model AI, infrastruktur data dan integrasi analitik, syarikat berada pada posisi kukuh untuk meningkatkan keupayaan produk, memenuhi permintaan pasaran yang semakin meningkat serta mencapai visi jangka panjang sebagai penyedia perkhidmatan hasil berulang margin tinggi.- DagangNews.com