Vanzo lantik XIMCL sebagai pengedar eksklusif, tembusi pasaran Taiwan menerusi Watson | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vanzo lantik XIMCL sebagai pengedar eksklusif, tembusi pasaran Taiwan menerusi Watson

Kredit gambar FACEBOOK/VANZO MALAYSIA
Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 23 Jun – Syarikat pewangi udara, Vanzo Holdings Bhd melantik Xishangxi International Marketing Co Ltd (XIMCL) sebagai pengedar eksklusif bagi menembusi pasaran barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) di Taiwan, sekali gus mengukuhkan pengembangan serantau kumpulan. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh, Vanzo Asia Sdn Bhd (VASB) telah memeterai perjanjian dengan XIMCL bagi pengedaran produk VASB melalui platform dalam talian dan kedai fizikal Watsons Taiwan.

 

Perjanjian itu berkuat kuasa dari 20 Jun 2025 hingga 19 Jun 2027, dengan produk Vanzo dijangka memasuki lebih 500 cawangan Watsons di Taiwan menjelang September ini.

 

Ia juga boleh ditamatkan secara automatik sekiranya Watsons tidak membuat sebarang pesanan selama tiga bulan berturut-turut atau sekiranya produk dikeluarkan daripada senarai jualan.

 

Sementara itu, VASB turut mengekalkan hak untuk membenarkan XIMCL meluaskan pengedaran ke saluran utama lain.

 

"Langkah ini membolehkan VASB memperkukuh kehadirannya dalam pasaran FMCG Taiwan menerusi saluran tambahan seperti farmasi, pasar raya, pasar mini, dan kedai serbaneka," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Perjanjian itu dijangka menyumbang positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 September 2026 (FY26). 

 

Keperluan modal kerja bagi pelaksanaan perjanjian berkenaan akan dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman Vanzo.

 

Syarikat itu terlibat dalam reka bentuk, pemasaran dan penjualan produk pewangi udara, termasuk pewangi kereta, kediaman, penjagaan peribadi dan barangan isi rumah.

 

Sejak 2022, Vanzo telah membuka beberapa kiosk runcit di pusat beli-belah sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Sarawak dan Johor, manakala syarikat juga telah menembusi pasaran Singapura, Brunei, dan Australia.

 

Saham Vanzo tidak berubah pada 15.5 sen, hampir kepada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 15 sen, dengan modal pasaran RM72.3 juta, namun, kaunter itu telah susut sebanyak 26.19% setakat tahun ini.- DagangNews.com