Vantris Energy raih kontrak luar pesisir PETRONAS, kukuh pemulihan pasca penstrukturan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy raih kontrak luar pesisir PETRONAS, kukuh pemulihan pasca penstrukturan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 Jan – Vantris Energy Berhad, mengukuhkan kedudukannya dalam segmen kejuruteraan dan pembinaan luar pesisir selepas anak syarikat milik tidak langsung 100%, Sapura Offshore Sdn Bhd, memperoleh perintah kerja pengangkutan dan pemasangan luar pesisir (T&I) di Malaysia daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Vantris Energy berkata perintah kerja tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan T&I bagi kemudahan luar pesisir untuk Projek Pembangunan Semula Bersepadu Sepat serta Projek Pembangunan Medan Baharu Belud South, di bawah kontrak sedia ada bagi penyediaan perkhidmatan pengangkutan dan pemasangan kemudahan luar pesisir.

 

 

 

 

 

 

 

 

Menurut kumpulan itu, kedua-dua perintah kerja dijangka bermula pada suku pertama tahun kalendar 2026. 

 

Skop kerja bagi projek Belud South dijangka siap pada suku keempat tahun kalendar 2027 manakala skop Sepat pula disasarkan untuk disiapkan pada suku ketiga tahun kalendar 2029.

 

Operasi berkenaan akan dilaksanakan oleh segmen Kejuruteraan & Pembinaan (E&C) kumpulan, sekali gus mencerminkan usaha Vantris Energy untuk memperkukuh prestasi E&C melalui pelaksanaan berdisiplin berasaskan keupayaan teras, selain peralihan strategik ke arah peluang kontrak dengan profil risiko yang lebih rendah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, kontrak tersebut membuktikan keupayaan kukuh kumpulan dalam bidang T&I luar pesisir.

 

“Kontrak ini mencerminkan keupayaan Vantris Energy dalam T&I luar pesisir serta tumpuan berterusan kami untuk menyampaikan prestasi mampan merentas perniagaan teras, dengan mengutamakan peluang yang selari dengan keupayaan, kekuatan serantau dan selera risiko kami,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

 

Beliau menambah, dengan kedudukan kunci kira-kira yang lebih kukuh susulan tarikh kuat kuasa penstrukturan semula pada September 2025, Vantris Energy berada pada landasan yang baik untuk terus mempertingkatkan kecemerlangan operasi merentas semua segmen perniagaan, sambil mengekalkan momentum positif dalam pelaksanaan dan penghantaran projek. - DagangNews.com