Vantris Energy catat keuntungan RM4.27 bilion pada 3QFY26 susulan penyusunan semula kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Vantris Energy catat keuntungan RM4.27 bilion pada 3QFY26 susulan penyusunan semula kewangan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Dis – Vantris Energy Bhd, sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM4.27 bilion bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY2026), berbanding kerugian bersih RM293.06 juta pada tempoh sama setahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan itu berkata, ia berikutan hasil keuntungan sekali sahaja berjumlah RM4.47 bilion daripada pelupusan hutang selepas proses penyusunan semula kewangan syarikat.

 

“Penyusunan semula yang diselesaikan pada 26 September tahun ini melibatkan pengeluaran saham dan sekuriti baharu untuk menyelesaikan liabiliti tertunggak, sekali gus mengurangkan jumlah pinjaman Vantris Energy kepada RM5.7 bilion daripada RM10.76 bilion.

 

“Langkah itu turut menjadikan Malayan Banking Bhd (Maybank), CIMB Group Holdings Bhd dan RHB Bank Bhd sebagai pemegang saham terbesar pertama, kedua dan ketiga dengan pegangan masing-masing 20.27%, 12.13% dan 7.21%,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Walaupun mencatat keuntungan bersih, Vantris Energy masih mengalami kerugian operasi sebanyak RM97.07 juta pada 3QFY2026, berbanding keuntungan operasi RM215.11 juta setahun lalu, disebabkan peningkatan perbelanjaan operasi sebanyak 14.9% kepada RM1.08 bilion.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ini.

 

Pendapatan bagi suku ketiga menurun 14.8% kepada RM982.79 juta daripada RM1.15 bilion disebabkan prestasi lebih lemah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan (E&C), yang menyaksikan hasil jatuh 30.5% kepada RM486.86 juta berikutan kemajuan lebih perlahan dalam projek berjalan manakala projek lain telah siap.

 

Segmen E&C merekodkan kerugian sebelum cukai RM125.51 juta, berbanding keuntungan sebelum cukai RM193.49 juta tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan kos lebih tinggi bagi projek di Angola.

 

Segmen penggerudian mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM6.52 juta berbanding kerugian RM39.43 juta sebelum ini, disokong oleh kadar sewaan lebih tinggi dan kos kewangan lebih rendah.

 

Selain itu, gegmen operasi dan penyelenggaraan (O&M) mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM38.93 juta, hampir sama dengan RM39.28 juta setahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Oktober 2025, Vantris Energy melaporkan keuntungan bersih RM3.56 bilion berbanding kerugian bersih RM216.16 juta sementara pendapatan menurun 19.5% kepada RM2.85 bilion.

 

Tanpa mengambil kira keuntungan sekali sahaja daripada penyusunan semula, syarikat mencatatkan kerugian operasi RM72.76 juta bagi 9MFY2026, berbanding keuntungan operasi RM762.29 juta setahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Vantris Energy, Muhammad Zamri Jusoh berkata, suku ketiga ini menandakan titik perubahan bagi syarikat dengan penyusunan semula kewangan yang berjaya diselesaikan, sekali gus mengurangkan beban kewangan yang telah lama menjejaskan prestasi syarikat.

 

Beliau menegaskan syarikat masih menumpukan usaha memperkukuh prestasi operasi.

 

Menurut Muhammad Zamri, keutamaan syarikat adalah keluar daripada status PN17 dengan merekodkan dua suku berturut-turut yang menguntungkan, mengekalkan momentum operasi serta memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan.

 

Setakat 31 Oktober 2025, buku pesanan Vantris Energy berjumlah RM6.3 bilion, dengan tambahan RM3.9 bilion daripada usaha sama dan syarikat bersekutu. - DagangNews.com